Budak mati tertembak dalam pergaduhan keluarga

BIRMINGHAM, ALA., 9 DIS – Seorang budak lelaki berusia 5 tahun di Alabama maut apabila dia terkena tembakan ketika pertengkaran di antara dua ahli keluarga, polis Birmingham mengesahkan.

Polis mengenal pasti kanak-kanak itu sebagai Tanarius ‘TJ’ Moore, lapor media semalam.

Dua ahli keluarga sedang berkelahi di luar kompleks pangsapuri di utara Birmingham pada Sabtu apabila kedua-duanya melepaskan tembakan, kata Sarjan Johnny Williams.

Budak sekolah tadika itu terkena tembakan dan pegawai respons menemuinya cedera parah, menurut satu laporan polis yang diperoleh oleh saluran media. Dia meninggal dunia di sebuah hospital lewat hari itu.

Beberapa orang telah ditahan dan polis masih mencari yang lain, termasuk saksi yang telah melarikan diri, kata Penolong Ketua Polis Birmingham Scott Praytor. Tidak ada suspek yang telah dikenal pasti.

TJ akan menyambut hari lahirnya yang keenam bulan depan, beritahu nenek Sherie Moore kepada Al.com. Dua tahun lalu, bapa TJ yang berusia 25 tahun ditembak mati dalam persengketaan di antara beliau dan penembak, kata polis Birmingham pada masa itu.

Pembunuhan bapa dianggap wajar disebabkan saksi berkata dia melepaskan tembakan dahulu, dan tidak ada dakwaan yang difail, lapor Al.com.

“Saya kehilangan anak lelaki saya, dan sekarang saya kehilangan cucu saya,” beritahu Moore kepada Al.com. “Ia tidak dapat dijelaskan,” tambahnya. – AP