Budak maut dalam perigi

NEW DELHI, 11 JUN – Seorang budak lelaki berusia dua tahun yang terperangkap di dalam sebuah perigi sempit lebih empat hari ditemui mati selepas dibawa keluar hari ini, mencetuskan bantahan ke atas kelewatan untuk menyelamatkan kanak-kanak itu.

Kes Fatehveer Singh menarik perhatian seluruh negara selepas dia terjatuh ke dalam perigi sedalam 33 meter ketika bermain di Sangrur daerah Punjab pada Khamis lalu.

Perigi yang tidak digunakan itu hanya berkeluasan 23 sentimeter lebar, menyebabkan usaha menyelamat puluhan pekerja penyelamat dan sukarelawan bersama penduduk tempatan menjadi agak sukar dan disiarkan di televisyen.

“Kanak-kanak itu sudah meninggal dunia. Dia berjaya dikeluarkan pada jam 5 pagi oleh kakitangan Pasukan Bantuan Bencana Kebangsaan (NDRF),” kata ahli dewan negeri, Vijay Inder Singla kepada AFP.

Kanak-kanak itu yang mendapat bekalan oksigen tetapi tiada makanan atau minuman, diterbangkan menggunakan ambulans udara ke sebuah hospital di Chandigarh kemudiannya disahkan meninggal dunia.

Gambar yang diambil pada 10 Jun menunjukkan pasukan menyelamat India melancarkan operasi untuk mendapatkan Fatehveer Singh, 2, yang jatuh dalam perigi sedalam 33 meter pada 6 Jun lalu. – AFP

Pihak berkuasa terpaksa menggali lubang selari dengan telaga untuk memasukkan paip selebar 36 inci sebagai usaha menyelamatkan kanak-kanak yang terperangkap itu.

Para penduduk berang tentang misi menyelamat yang gagal di tapak itu hari ini dan menjerit slogan menentang kerajaan negeri.

Para pembantah juga menyekat jalan utama sebelum polis dikerahkan untuk menghalang masalah selanjutnya.

“Operasi menyelamat ditangguhkan kerana kekurangan bantuan teknikal yang diperlukan,” kata penduduk Kultar Singh yang dipetik media tempatan.

Perigi itu digali oleh keluarga kanak-kanak berkenaan pada 1984 untuk mengairi kawasan ladang sebelum dihentikan pada 1991.

Ketua Menteri Punjab, Amarinder Singh telah mengarahkan tindakan keras ke atas perigi terbuka di seluruh negeri. – AFP