Budak maut gempa landa Filipina

MANILA, 15 DIS – Satu gempa bumi kuat melanda selatan pulau Filipina Mindanao hari ini, membunuh seorang kanak-kanak dan merosakkan bangunan di satu kawasan yang masih berpulih daripada beberapa siri gempa pada Oktober.

Polis berkata satu operasi menyelamat telah dilancarkan di bangunan pasar yang rosak teruk berhampiran pusat gempa dengan magnitud 6.8, yang terletak kira-kira 90 kilometer dari bandar utama Davao.

Pesakit dipindahkan dari hospital sebagai langkah berjaga-jaga tatkala orang ramai berkumpul di luar gedung membeli-belah selepas gempa dan beberapa siri gegaran yang lebih kecil tetapi kuat.

“Kami tidak boleh menggunakan pejabat kami disebabkan dinding rekah dan tangga roboh,” beritahu jurucakap polis tempatan Lea Orbuda kepada AFP. “Bekalan elektrik terputus dan paip air kering.”

Beliau menambah sekurang-kurangnya 24 orang telah dibawa ke hospital, menambah operasi menyelamat telah diteruskan. 13 orang lain dilaporkan cedera di kawasan berdekatan, kata polis.

Penduduk dan anggota menyelamat memeriksa struktur yang rosak susulan gempa bumi di Padada, wilayah Davao del Sur, selatan Filipina kelmarin. – AP

Polis berkata seorang kanak-kanak maut apabila satu struktur roboh.

Presiden Rodrigo Duterte, yang berasal dari Davao, mengalami gempa bumi tetapi tidak cedera, kata pegawai.

“Wanita Pertama berkata kereta yang dinaikinya bergegar,” kata jurucakap Salvador Panelo. “Mereka tidak cedera.”

Tidak timbulnya ancaman tsunami, kata Tinjauan Geologi AS, yang pada mulanya melaporkan magnitud pada 6.9.

Filipina terletak di ‘Lingkaran Api’ Pasifik, lengkung aktiviti seismik yang merentasi Jepun hingga Asia Tenggara dan seluruh lembangan Pasifik.

Tiga gempa bumi dengan magnitud melebihi 6.0 melanda kawasan Mindanao yang sama dalam beberapa minggu pada Oktober, membunuh dua dozen orang dan merosak teruk bangunan pejabat, sekolah dan pangsapuri. – AFP