BANDAR CHESTERFIELD, MICHIGAN, 3 FEB – Seorang lelaki Michigan berkata dia diberikan bil AS$1,000 selepas anak lelakinya yang berusia enam tahun memesan makanan bufet dalam talian dari beberapa restoran pada hujung minggu lalu, membawa kepada beberapa penghantaran yang tidak dijangka – dan mungkin menjadi watak utama dalam kempen iklan.
Keith Stonehouse berkata makanan bertimbun dengan cepat di rumahnya di Detroit pada malam Sabtu selepas dia membenarkan anak lelakinya, Mason, menggunakan telefon bimbitnya untuk bermain permainan sebelum tidur. Dia berkata anaknya menggunakan akaun Grubhub untuk memesan makanan dari beberapa restoran.
Ibu budak itu, Kristin Stonehouse memberitahu The Associated Press bahawa Grubhub telah menghubungi keluarganya dan menawarkan mereka kad hadiah bernilai AS$1,000.
Syarikat itu juga menimbang menggunakan keluarga itu dalam kempen promosi dalam talian, katanya. Wakil Grubhub belum membalas mesej dari AP untuk memberi komen.
Keith Stonehouse berkata dia bersendirian bersama anaknya sementara isterinya keluar menonton wayang apabila Mason memesan udang galah, salad, shawarma dan sandwic pita ayam, kentang keju cili dan makanan lain yang dihantar oleh beberapa pemandu Grubhub ke rumah Chesterfield mereka.
Stonehouse berkata anaknya memesan makanan daripada beberapa restoran berlainan sehingga dia hanya menyedari apa yang berlaku apabila beberapa pesanan dihantar ke rumahnya. Pada masa itu, dia tidak dapat berbuat apa-apa untuk membatalkan pesanan.
Kristin memberitahu AP Mason amat pintar dan boleh membaca sejak berusia dua tahun.
“Saya tahu kejadian seperti ini boleh berlaku, namun tidak memikirkan anak saya akan melakukan sesuatu seperti ini. Dia pastinya bijak, saya tidak menjangkanya,” kata Keith. – AP
