CIANJUR, 24 NOV – Berpantang ajal sebelum maut…itulah yang dapat digambarkan tentang budak lelaki berusia enam tahun yang berjaya dikeluarkan daripada runtuhan gempa bumi selepas dua hari terperangkap dalam serpihan tanpa makanan atau minuman.
Rakaman video dikeluarkan pihak pentadbiran daerah Bogor di Jawa Barat menunjukkan mudak lelaki yang dikenali sebagai Azka telah ditarik keluar oleh penyelamat dari runtuhan rumah yang musnah di daerah Cugenang, yang paling teruk dilanda gempa.
Sukarelawan berjaya menariknya keluar dari lubang di celah-celah serpihan dengan mencapai kedua-dua belah tangannya, manakala seorang pekerja penyelamat memegang tangannya.
“Kami menangis apabila menyedari Azka masih hidup. Ia amat mengharukan, terasa seperti satu keajaiban,” kata sukarelawan, Jeksen Kolibu kepada AFP. Azka pula kelihatan tenang selepas diselamatkan, sambil menghirup minuman diberikan oleh penyelamat.
Ibu kanak-kanak itu meninggal dunia dalam gempa itu dan mayatnya ditemui beberapa jam sebelum Azka diselamatkan, manakala neneknya turut meninggal dunia di sebelah Azka.
Kolibu berkata, ketika Azka ditemui, dia berada dalam ruang yang sempit, gelap, panas dan tidak ada lubang yang cukup untuk bernafas. – AFP
