Budaya bersopan santun

Saya telah menetap di Brunei Darussalam selama lima tahun dan saya sentiasa terkejut dengan sikap sopan santun yang sering saya temui setiap hari.

Di negara lain, anda boleh melihat papan tanda yang mengingatkan penduduknya supaya bersopan santun khususnya di tempat-tempat seperti eskalator, kereta api atau bas.

Seterusnya memberikan laluan supaya penumpang turun terlebih dahulu sebelum orang lain boleh naik sebagaimana yang lazim dilihat di stesen kereta api di Eropah. Di negara yang padat seperti India, terdapat banyak inisiatif khas untuk mengingatkan orang ramai bahawa membunyikan hon adalah tidak perlu jika penduduk mematuhi peraturan.

Namun semua itu tidak diperlukan di Brunei. Sikap sopan santun merupakan sesuatu yang kerap diamalkan setiap hari di negara ini. Saya memandu setiap hari akan tetapi saya belum mendengar bunyi hon lebih daripada dua kali. Kebanyakan pemandu mengamalkan sikap beradab, sentiasa memberikan saya peluang untuk memasuki lorong mereka dengan memperlahankan kereta dan membenarkan saya lalu di depan mereka.

Penduduk Brunei yang bersopan santun tidak akan memintas jalan anda apatah lagi apabila anda sedang berjalan. Jika mereka perlu berbuat demikian, mereka akan berhenti kemudian baharulah mereka akan melintas. Jika terpaksa, mereka akan meminta maaf dan seterusnya akan berjalan di depan anda.

Nampaknya, ia merupakan satu budaya yang sering diamalkan di negara ini. Begitu juga keadaannya semasa Bandarku Ceria yang diadakan setiap hari Ahad. Dalam tempoh ini, jalan raya di bandar ditutup kepada semua kenderaan motor dari awal pagi hingga tengah hari. Ini memberikan pejalan kaki, pelari dan penunggang basikal masa yang menyeronokkan untuk berjalan, bersiar-siar atau bersenam di jalan yang biasanya sibuk pada hari biasa.

Apabila saya berjalan-jalan pada satu pagi, saya ternampak dua anggota polis menunggang motosikal melalui tempat itu. Jelasnya, mereka ditempatkan di sana untuk memastikan segala-galanya berjalan dengan lancar. Saya berhenti di tepi jalan untuk membenarkan mereka lalu.

Bagaimanapun, anggota polis ternampak saya, menghentikan motosikal dan melambai kepada saya untuk memberi petunjuk bahawa ia adalah jalan saya disebabkan hari itu adalah Bandarku Ceria.

Satu lagi situasi adalah apabila saya pertama pergi ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), saya adalah orang baharu di Brunei pada masa itu dan tidak jelas mengenai lokasi dan nama tempat sebenar. Selepas melawat Hospital RIPAS, saya bertanyakan seorang lelaki sama ada bas ulang-alik akan membawa saya ke Kiulap. Dia menjawab tidak dan menambah bahawa bas ulang-alik pergi ke tempat letak kereta berhampiran masjid sahaja.

Saya tahu ia adalah bas yang betul. Ketika kami turun dari bas, lelaki itu pergi bersama saya untuk memastikan kereta saya berada di tempat letak kereta. Saya faham sikapnya yang prihatin memandangkan cuaca panas dan jika saya perlu pergi ke Kiulap, saya perlu berjalan agak jauh dari tempat letak kereta.

Sekali lagi di Hospital RIPAS, saya dikenakan bayaran sebagai pelancong meskipun menetap di Brunei dan mempunyai kad pemastautin bersama saya. Wanita di kaunter pendaftaran tidak dapat membantu kerana harga tersebut dikeluarkan oleh komputer. Saya membayar apa yang ditunjukkan dan lupa mengenai perkara itu. Menariknya, beberapa hari kemudian, saya menerima satu panggilan dari Hospital RIPAS meminta saya mengambil jumlah lebih yang dikenakan kepada saya.

Nampaknya kaunter pendaftaran membuat susulan terhadap perkara tersebut walaupun saya tidak melakukan apa-apa. Akal budi, kesopanan dan budi bahasa adalah tiga perkataan berlainan tetapi mereka mempunyai banyak persamaan: keprihatinan terhadap orang lain. – Suneeta Pathak