Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi
TEMBURONG, 29 Sept – Peringkat akhir kebangsaan bagi Pertandingan Menghafaz Surah-Surah Pilihan Berserta Pemahaman Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-71 bagi Tahun 2017 telah diadakan di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar, di sini, hari ini.
Pertandingan akhir berkenaan telah dibahagikan kepada dua sesi iaitu pagi dan petang, dengan sesi pagi mendengarkan hafazan para peserta Kategori C (Remaja Lelaki), Kategori D (Remaja Perempuan), Kategori E (Terbuka Lelaki) dan Kategori F (Terbuka Perempuan) manakala itu, sesi petang pula bagi Kategori A (Kanak-Kanak Lelaki) dan Kategori B (Kanak-Kanak Perempuan).
Hadir menyaksikan pertandingan pada sebelah pagi ialah Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof manakala itu, sebelah petang pula dihadiri oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Tahamit bin Haji Nudin yang turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Pertandingan yang dikendalikan oleh Jabatan Daerah Temburong dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama itu bertujuan untuk menyemarakkan dan memeriahkan lagi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-71 Tahun dengan acara-acara keagamaan.
Selain daripada itu juga untuk menambah rasa cinta kepada Al-Quran di samping menjadikan aktiviti membaca Al-Quran sebagai amalan harian.
