Budayakan keselamatan makanan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Budaya boleh disifatkan sebagai sesuatu perkara yang dilaksanakan oleh sekumpulan minoriti yang mampu memberikan kesan yang besar kepada majoriti.

Oleh itu, dalam membangunkan budaya keselamatan makanan, penekanan dan perubahan yang dilaksanakan bagi keselamatan makanan terus menjadi keutamaan oleh penyedia makanan akan membawa kepada perubahan yang amat besar kepada penekanan budaya keselamatan makanan kepada industri makanan secara menyeluruh.

Harapan itu disuarakan oleh Profesor Madya dalam Pengurusan Kebudayaan, University Of Sunderland, Dr Derek Watson ketika menyampaikan seminar bertajuk How to Get Food Safety Culture Back on The Business Menu yang berlangsung di Dewan Kuliah 3, Kolej Perdagangan Laksamana (LCB), hari ini.

Beliau juga menyatakan bahawa kakitangan merupakan barisan pertama dalam pertahanan makanan, oleh itu, seorang pemimpin harus menjana persekitaran yang konsisten serta adil dalam membuat keputusan mereka supaya dapat mengurus kakitangan dengan adil dan saksama.

Beliau turut menyatakan bahawa sebagai seorang pemimpin juga mungkin melepaskan kata-kata yang boleh menyinggung perasaan kakitangan di mana kata-kata berkenaan boleh sahaja dilupakan (pemimpin) tetapi perlu ingat dalam kakitangan akan mempunyai ingatan akan kata-kata berkenaan dan ia akan memberi kesan kepada mereka.

Dr Derek Watson menyampaikan seminar bertajuk How to Get Food Safety Culture Back on The Business Menu, kelmarin.
Para pelajar LCB dan jemputan yang menghadiri seminar yang berlangsung di Dewan Kuliah 3, LCB.

Terdahulu dalam seminar berkenaan, beliau menyentuh mengenai perubahan dalam diri seseorang untuk meraih kejayaan dan baginya untuk mencapai kejayaan, seseorang tidak perlu menjadi yang terbaik daripada yang terbaik tetapi mereka harus menikmati perjalanan menuju ke arah kejayaan itu.

Dr Watson menambah dalam menjana perubahan diri ke arah kejayaan, seseorang perlu membuat perubahan yang realistik di mana matlamat atau perubahan yang dihajati itu merupakan sesuatu yang dapat diraih dan bukan sesuatu yang tidak realistik.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan bahawa sebagai seorang manusia, semua akan membuat kesilapan dan perkara yang harus dijadikan pengajaran adalah dalam kesilapan itu, boleh mendapatkan kejayaan.

Beliau turut berkongsi maklumat mengenai cabaran yang dihadapi oleh pengeluar makanan di United Kingdom terutama dari segi keselamatan makanan serta memberikan penerangan mengenai dengan nilai-nilai utama dalam budaya makanan.

Di samping itu, beliau turut membincangkan mengenai penekanan kepada empat prinsip C utama iaitu kawalan (control), kerjasama (co-operation), komunikasi (communication) dan kompeten (competence).

Pada masa sama, beliau menekankan pentingnya memberikan maklum balas positif kepada kakitangan kerana ia akan menceriakan diri mereka. Seminar dihadiri oleh para pelajar LCB, ahli-ahli Forum Perniagaan Britain Brunei serta wakil dari hotel-hotel dan restoran.