Budayakan masyarakat bermaklumat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Program Masyarakat Bermaklumat merupakan salah satu landasan Jabatan Penerangan untuk menyampaikan maklumat rasmi mengenai dasar dan maksud kerajaan supaya semua anggota masyarakat memahami, menyokong dan menghayatinya secara berkesan melalui penyampaian taklimat, sesi dialog dan lawatan.

Di samping itu, program yang diadakan secara berterusan di keempat-empat daerah itu, adalah selaras dengan usaha jabatan ke arah membudayakan masyarakat bermaklumat.

Perkara itu dijelaskan oleh Pemangku Pegawai Penerangan, Pemangku Ketua Unit Hubungan Masyarakat, Awang Hasanul Hidayat bin Haji Abu Bakar dalam kata alu-aluannya pada Majlis Perasmian Program Masyarakat Bermaklumat bagi Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Meragang, Mukim Serasa yang berlangsung di Pusat Tingkatan Enam Meragang, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada perasmian program berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Pemangku Penghulu Mukim Serasa, Yang Berhormat Pengiran Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman.

Turut hadir ialah Pemangku Ketua Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Jabatan Penerangan, Awang Muhd Khairulhadi bin Haji Muhd Muhtadir, Pemangku Ketua Kampung RPN Kampung Meragang, Awang Mohammad Hadi Muslim bin Abdullah, para peserta program serta pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan.

Awang Hasanul Hidayat menyampaikan kata alu-aluannya pada perasmian program berkenaan.
Para peserta yang menyertai Program Masyarakat Bermaklumat bagi RPN Kampung Meragang, Mukim Serasa yang berlangsung di Pusat Tingkatan Enam Meragang, kelmarin.

Awang Hasanul Hidayat dalam kata alu-aluannya lagi menyatakan bahawa program itu bermatlamat untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan memberigakan perkembangan terkini mengenai usaha-usaha kerajaan ke arah mempertingkatkan taraf hidup dan menyuntik semangat diri serta memberikan inspirasi kepada anggota masyarakat.

“Selain itu juga bertujuan untuk mengukuhkan jati diri dan memberi keyakinan yang tinggi dalam menangani cabaran dan pengaruh kehidupan yang boleh mengganggu keharmonian, kesejahteraan dan kestabilan kehidupan di negara ini,” tambahnya.

Beliau menyatakan harapan supaya pelaksanaan program itu dimanfaatkan sepenuhnya dan dijadikan sebagai langkah bagi mewujudkan ahli masyarakat bermaklumat dan berilmu supaya dapat sama-sama menanai hasrat kerajaan dalam mendukung pelaksanaan Wawasan Brunei 2035 iaitu ke arah menjadi rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, seterusnya memiliki kehidupan berkualiti tinggi dan mencapai ke arah ekonomi yang dinamik serta berdaya tahan.

Seramai 31 orang peserta menyertai program dua hari itu, di mana mereka berpeluang untuk memperoleh maklumat dan ilmu pengetahuan menerusi taklimat yang disampaikan oleh para penceramah dan lawatan ke pelbagai agensi termasuk Jabatan Adat Istiadat Negara, Bahagian Penguatkuasaan Agama, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Bahagian Pendaftaran Pertubuhan, Pasukan Polis Diraja Brunei, Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei, Unit Kenegaraan, Jabatan Penerangan Darussalam Enterprise (DARe), Syarikat IT Protective Security Services Sdn Bhd (ITPSS), Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Rimba Garden Central serta Rz Prisma Enterprise.