Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Budayakan ujian art sebagai langkah berjaga-jaga

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    Berikutan kes baharu COVID-19 yang semakin meningkat, Negara Brunei Darussalam kini berdepan dengan gelombang ketiga penularan wabak COVID-19.

    Sehubungan itu, seluruh masyarakat diseru untuk tidak lalai dan terus berjuang menggengam erat tanggungjawab sosial bersama bagi mencegah diri daripada sebarang jangkitan mahu pun gejala yang lebih teruk.

    Membudayakan ujian ART sebagai norma baharu

    Segalanya akan menjadi sia-sia begitu sahaja apabila kita selaku masyarakat terus leka, oleh yang demikian salah satu usaha yang perlu dijadikan sebagai budaya norma baharu ialah dengan melakukan ujian pantas antigen (ART) sekerap yang mungkin.

    Orang ramai diingatkan untuk hanya menggunakan kit ART yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan bagi mengelakkan berlakunya keputusan false negative kerana ia memberi jaminan palsu.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pernah menjelaskan perkara ini semasa sidang media sekitar awal Januari lalu berhubung ada yang mengatakan ujian ART boleh memberi keputusan salah untuk varian Omicron.

    Salah satu usaha yang perlu dijadikan sebagai budaya norma baharu ialah dengan melakukan ujian ART sekerap yang mungkin.
    Semasa melakukan ujian ART, kita perlu memastikan tempat melakukan prosedur berkenaan kering, bersih dan mempunyai pengudaraan yang baik.
    Orang ramai diingatkan untuk hanya menggunakan kit ART yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan bagi mengelakkan berlakunya keputusan false negative kerana ia memberi jaminan palsu.
    Para pelajar dikehendaki untuk melakukan ujian ART di dewan sekolah sebelum mereka dibenarkan bagi mengikuti pembelajaran secara fizikal di dalam bilik darjah masing-masing.
    Kit ujian ART yang diluluskan di Negara Brunei Darussalam menunjukkan lebih 90 peratus dapat mengesan varian-varian COVID-19 termasuk varian Omicron.

    Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan, apa yang penting ketika membuat penilaian terhadap kit ART ini, mestilah dilihat apa jenis kit ART yang dibenarkan di negara ini, yang mana mempunyai hasil ujian yang bagus.

    Yang Berhormat Dato turut mengingatkan untuk memahami kit ART berkenaan di mana keputusan yang ujian ART itu bukan menunjukkan keputusan 100 peratus ketepatan tapi ia adalah 90 peratus ke atas. Ketika mengulas lanjut mengenai dengan maksud false negative ini, ia sebenarnya positif tapi keputusan ART menunjukkan negatif.

    Beliau seterusnya menambah, terdapat juga keputusan ART yang false positive tapi tidak banyak yang mana false positive bermaksud, ART menunjukkan keputusan positif tapi bila melakukan swab PCR, ia menunjukkan negatif.

    “Jika berlaku keputusan false positive, ia boleh dilakukan dengan swab PCR untuk memastikan ia benar-benar positif atau sebaliknya tapi apa yang ditakuti ialah apabila keputusan memberikan false negative kerana ia memberi jaminan palsu,” jelasnya.

    Kurang lebih 100,000 partikel virus boleh dikesan

    Sementara semasa sidang media baru-baru ini, Yang Berhormat Dato menekankan kit ujian ART yang diluluskan di Negara Brunei Darussalam menunjukkan lebih 90 peratus dapat mengesan varian-varian COVID-19 termasuk varian Omicron.

    Sehubungan itu, orang ramai disarankan supaya tidak perlu risau mengenai keraguan keputusan yang diperoleh namun dalam hal ini pentingnya bagi masyarakat mengetahui akan kaedah dan cara penggunaan ujian melalui ART mahu pun PCR.

    Perkara tersebut telah dikemukakan oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan memandangkan kerisauan orang awam mengenai kesahihan keputusan ujian ART yang dilaksanakan secara persendirian khususnya bagi mereka yang mempunyai kontak-kontak positif.

    Yang Berhormat Dato menjelaskan secara ringkas, PCR boleh mengesan jika partikel virus itu dalam 50,000 manakala ART boleh mengesan kurang lebih 100,00 partikel virus.

    “Kalau seseorang memiliki kontak yang positif maka mereka diperlukan untuk mengikuti tempoh kuarantin selama lima hari iaitu sekiranya pada hari pertama didapati negatif setelah menjalankan ujian ART namun mereka juga dikehendaki untuk menjalani ujian pada hari kelima bagi menentukan kesahihan jangkitannya,” tekannya.

    Yang Berhormat Dato turut menambah pendekatan sedemikian perlu dijalankan dan dipantau untuk menentukan kesahihannya dengan lebih baik berbanding terus melakukan PCR.

    Teliti ketika menggunakan kit ujian

    Secara dasar, perlu diketahui oleh semua pengguna kit ujian perlu mengikuti prosedur-prosedur tertentu. Sebagai permulaan, kita mestilah membaca arahan penggunaan kit dengan teliti. Selain itu, kita juga dikehendaki untuk memeriksa dan memastikan kit lengkap, tidak melepasi tarikh luput dan tidak rosak.

    Jangan lupa untuk mencuci tangan sebelum memulakan prosedur bagi mengelakkan kontaminasi silang. Dalam pada itu, kita juga perlu memastikan tempat melakukan prosedur ini kering, bersih dan mempunyai pengudaraan yang baik.

    Penting juga untuk sentiasa memastikan tiada orang berhampiran bagi mengelakkan risiko jangkitan dan kontaminasi silang. Namun sekiranya prosedur ini perlu dibantu oleh orang lain, pembantu perlu memakai sekurang-kurangnya pelitup muka dan sarung tangan bagi mengelakkan risiko jangkitan dan kontaminasi silang.

    Bagaimana pembuangan kit ujian yang betul?

    Menyentuh mengenai pengendalian pembuangan kit ujian yang telah digunakan, orang ramai disarankan untuk sentiasa memastikan semua alatan kit dimasukkan ke dalam plastik dan diikat dengan sempurna. Seterusnya, plastik yang mengandungi alatan kit berkenaan perlulah dibuang ke dalam tong sampah.

    Begitu juga, kita dikehendaki untuk menjalankan disinfeksi kawasan prosedur dengan larutan disinfeksi yang bersesuaian selepas prosedur pengujian. Akhirnya, jangan lupa untuk mencuci tangan menggunakan sabun dan air selepas selesai menjalankan prosedur bagi mengelakkan kontaminasi silang.

    Dalam pada itu, adalah sebaiknya ia dibuang dalam satu bekas atau bungkusan khas dan diasingkan kerana antigen berkenaan masih boleh menjangkiti. Manakala itu, bagi syarikat-syarikat yang membuat saringan dalam jumlah yang banyak juga diingatkan untuk membuang di tempat pembuangan barangan klinikal. Oleh itu, bersama kita beringat, jaga diri dan insan-insan sekelilingi demi menanai tanggungjawab sosial menangani penularan wabak virus ini dari semakin berleluasa.

    Sentiasa beringat

    Selaku masyarakat yang bertanggungjawab, kita terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan serta mengamalkan tanggungjawab sosial masing-masing. Ini termasuklah mendapatkan dos ketiga vaksin COVID-19 serta galakkan ahli keluarga dan orang-orang di keliling untuk mendapatkannya, menggunakan pelitup muka yang bersesuaian apabila keluar dari rumah atau mengelilingi orang lain, mengamalkan penjarakan fizikal, mengamalkan kebersihan diri setiap masa, melakukan ujian ART secara berkala, memastikan ruang dalaman mempunyai pengudaraan yang baik dan menggunakan aplikasi BruHealth semasa memasuki mana-mana premis.

    Dalam pada itu, orang ramai juga perlu melaporkan status kesihatan, teranah di rumah jika tidak berasa sihat dan dapatkan rawatan jika mengalami simptom serupa flu dan jika disahkan positif COVID-19, patuhi protokol kesihatan yang ditetapkan untuk menguruskan jangkitan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...