Bufet dibenarkan mulai 17 Ogos, tetapi bersyarat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri akan melaksanakan pelan de-escalation fasa keempat bagi perkhidmatan penyajian makanan di premis-premis makanan dengan pengemaskinian bagi syarat penyajian makanan secara bufet bermula 17 Ogos serta fasa ketiga bagi pawagam, berpandukan kepada nasihat Kementerian Kesihatan.

Di bawah pelaksanaan pelan de-escalation bagi perkhidmatan penyajian makanan di premis-premis makanan seperti restoran, kafe dan medan selera (food court), adalah kekal berada dalam fasa keempat iaitu dengan mengikut garis panduan yang telah disampaikan semasa sidang media pada 22 Julai lalu.

“Walau bagaimanapun, bermula 17 Ogos 2020 ini, penyediaan makanan secara bufet adalah dibenarkan dengan syarat makanan bufet dihidangkan oleh pekerja premis makanan.

“Garis panduan yang terperinci bagi perkhidmatan penyajian makanan (dine-in) di
premis-premis makanan dalam fasa keempat yang terkini akan dimuat naik ke laman sesawang Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.”

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri semasa berucap pada sidang media di Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Syahmi Hassan

Manakala itu, di bawah pelaksanaan pelan de-escalation fasa ketiga bagi pawagam, Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa jumlah pengunjung yang dibenarkan untuk masuk dalam satu-satu masa adalah dinaikkan kepada 80 peratus daripada jumlah kapasiti biasa ruang duduk pawagam berkenaan dengan memastikan penjarakan fizikal pengunjung sekurang-kurangnya satu tempat duduk.

Walau bagaimanapun, bagi pengunjung yang datang secara berkumpulan adalah dibenarkan duduk berdekatan, jelasnya lagi.

“Di dalam fasa ketiga ini juga, kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah adalah dibenarkan untuk memasuki pawagam. Orang ramai bolehlah merujuk garis panduan terperinci bagi pawagam dalam fasa ketiga yang akan dimuat naik ke laman sesawang Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri,” tambahnya.

Pelaksanaan pelan de-escalation itu, jelas Yang Berhormat Pehin, akan dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan pemantauan Kementerian Kesihatan akan situasi wabak COVID-19 di negara ini dan juga di peringkat serantau dan global.

“Orang ramai akan dimaklumkan mengenai pelaksanaan pelan de-escalation ini selanjutnya dari semasa ke semasa.

“Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri juga ingin mengingatkan bahawa pihak-pihak yang didapati tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204,” tegasnya lagi.

Bagi para pengurus premis-premis makanan dan pawagam serta orang ramai yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut, mereka boleh melayari laman sesawang Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, www.moha.gov.bn.