Buffon kembali ke Juventus

ROM, 5 JULAI – Bekas penjaga gol Itali Gianluigi Buffon kembali semula ke Juventus dengan kontrak selama setahun selepas menghabiskan tempoh semusim di Paris Saint-Germain.

Penjaga gol berusia 41 tahun itu yang akan menjadi nombor dua tertua di belakang penjaga gol Poland Wojciech Szczesny, sebelum ini menghabiskan 17 musim bersama kelab Turin itu, menjulang sembilan gelaran Serie A dan beraksi dalam tiga final Liga Juara-Juara.

“Selamat kembali, Gigi!” kata Juve dalam kenyataannya. “Hari itu, 19 Mei 2018. Itulah hari di mana semua orang mengalirkan air mata: apabila Gigi mengucapkan selamat tinggal kepada Juventus, peminat dan begitulah sebaliknya.

“Ia ucapan selamat tinggal buat seorang yang lebih daripada sekadar kapten tetapi legenda dan simbol kepada kelab ini.

“Mungkin setiap daripada kami mengharapkan dan pada akhirnya menyedari bahawa ikatan yang terjalin di antara kami sejak bertahun lamanya tidak ditakdirkan terlerai. Itulah halnya yang berlaku.”

Penjaga gol veteran yang menjulang Piala Dunia pada 2006 dan menjadi pemain dengan penampilan terbanyak Itali dengan 176 perlawanan, menyertai PSG musim panas lalu .

Dia beraksi dalam 25 perlawanan semua kejohanan di PSG dan menjulang gelaran Ligue 1 dan kejohanan penutup tirai Trofi Juara-Juara dan gelaran liga musim lalu adalah yang ke-10 dalam karier bola sepaknya. – AFP

Buffon (kiri) menyapa penyokong ketika menghadiri majlis perasmian premis Juventus FC di Milan, kelmarin. – AFP