Buih sabun mungkin atasi kelaparan dunia

WASHINGTON, 18 JUN – Robot terbang dilengkapi dengan senapang buih sabun mungkin dapat menyelamatkan planet bumi pada satu hari nanti.

Ia adalah menurut satu kajian yang disiarkan dalam iScience semalam oleh saintis Jepun yang berjaya menunjukkan bahawa buih sabun boleh digunakan untuk mendebungakan tumbuhan berbuah, dilihat sebagai penting untuk menjamin dunia mempunyai makanan pada dekad-dekad akan datang ketika berdepan jumlah lebah yang semakin berkurangan.

Eijiro Miyako, profesor madya di Institut Sains dan Teknologi Jepun di Nomi, memberitahu AFP beliau telah mengusahakan robot untuk mendebungakan tumbuhan bertahun-tahun lamanya, tetapi berasa kecewa apabila dron mainan yang digunakannya merempuh pada bunga, memusnahkan mereka.

Miyako dan penulis bersama Xi Yang pertama menggunakan mikroskop untuk mengesahkan buih sabun boleh membawa biji debunga.

Kemudian, mereka menguji lima penyelesaian yang ada di kedai, menemui satu digelar ‘lauramidoprophyl betaine’ yang digunakan dalam produk kosmetik untuk merangsang pembentukan busa, mendorong pertumbuhan lebih baik tiub yang dihasilkan daripada biji debunga selepas disenyawakan.

Pasangan itu memasukkan larutan ke dalam senapang gelembung dan melepaskan gelembung mengandungi debunga pada dusun buah pir, pada kadar 2,000 biji setiap gelembung, dan mendapati 95 peratus daripada bunga yang disasarkan menghasilkan buah.

“Ia nampaknya seperti fantasi akan tetapi buih sabun membenarkan pendebungaan efektif dan menjamin kualiti buah adalah sama dengan pendebungaan biasa,” kata Miyako.

Kajian itu dipercayai yang pertama dalam mengkaji ciri-ciri gelembung sabun berfungsi sebagai pembawa debunga, dan kemudian mengaitkannya dengan konsep dron automatik. – AFP