Buka pintu KUPU SB ke dunia luar

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jan – Dengan hasrat untuk mencapai visi dan misi Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) iaitu untuk membuka pintunya ke dunia luar, pelaksanaan program pertukaran dan lawatan sambil belajar ke luar negara merupakan salah satu cara untuk mempromosi KUPU SB ke mata dunia.

Sehubungan dengan itu, rombongan seramai 18 orang, termasuk tiga pegawai pengiring terdiri daripada pensyarah KUPU SB, tiga orang mahasiswa dan 12 orang mahasiswi berlepas ke Siem Reap, Kemboja bagi menyertai Program Ilmiah bermula hari ini hingga 8 Januari.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengucapkan selamat berlepas dan memberikan kata-kata nasihat kepada rombongan berkenaan ialah Pemangku Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adnan bin Haji Basar. Turut hadir ialah pegawai-pegawai dari KUPU SB serta ahli keluarga para ahli rombongan berkenaan.

Ketua rombongan, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Dayangku Hajah Norafizah binti Pengiran Haji Bungsu ketika ditemu bual Media Permata berkata, selain daripada mempromosikan KUPU SB ke mata dunia, program itu merupakan program bagi para pelajar KUPU SB untuk menghasilkan graduan yang holistik iaitu cemerlang dalam bidang akademik dan juga cemerlang dari segi sahsiahnya.

Menurutnya lagi, semasa berada di KUPU SB mereka diberikan ilmu pengetahuan iaitu teori dan apabila mereka berada di Kemboja, diharap akan dapat mempraktikkan ilmu pengetahuan yang dipelajari dalam suasana yang lebih mencabar.

Dr Haji Adnan bergambar ramai dengan rombongan yang berlepas ke Kemboja.
Dr Haji Adnan bergambar ramai dengan rombongan yang berlepas ke Kemboja.
Dr Haji Adnan menyampaikan kata-kata nasihat kepada para peserta rombongan.
Dr Haji Adnan menyampaikan kata-kata nasihat kepada para peserta rombongan.

“Secara teorinya, mereka melihat bagaimana untuk mengajar di sini dan di sana kami ingin mengharungi sendiri kaedah mengajar kepada pelajar yang berbeza dan suasana negara yang berbeza.”

Beliau berkata bahawa jika dilihat pengajaran agama di Kemboja adalah amat berbeza daripada di Brunei yang majoriti beragama Islam manakala di Kemboja pula, mereka yang beragama Islam adalah minoriti.

“Kami berharap pelajar ini dapat menerapkan rasa kecintaan sesama Islam di mana mereka tidak harus merasa tersisih daripada masyarakat Islam yang lain.”

Di samping itu, diharap juga akan ada hubungan di antara pelajar KUPU SB dengan murid-murid di Kemboja serta juga guru-guru mereka supaya mereka akan merasa bahawa terdapat pemedulian daripada kawan-kawan Islam yang lain.

Selain daripada mengajar, para pelajar juga akan mengambil bahagian dalam pelbagai kerja amal apabila berada di Kemboja nanti.

Dayangku Hajah Norafizah menambah bahawa program itu sudah lama dirancang dan setelah sekian lama, pada 2017, hasrat mereka telah tercapai untuk melaksanakan program berkenaan.

Program yang membawa tema ‘Membina kemantapan ukhuwwah Islamiah dengan pengajaran dan pembelajaran’ itu dianjurkan oleh Kelab Fikrah, Fakulti Usuluddin, KUPU SB dengan matlamat untuk membina dan memantapkan ukhuwah Islamiyyah antara pelajar KUPU SB dengan pelajar-pelajar di Siem Reap, Kemboja.

Ia juga bermatlamat untuk menambah maklumat dan membuat minda para pelajar dengan melihat suasana pengajaran dan pembelajaran yang berbeza serta keluar daripada zon selesa mereka, memperkaya pengalaman para pelajar terutamanya dalam soal pembelajaran khususnya dalam bidang yang mereka ceburi dengan mengadakan sesi pengajaran dan pembelajaran di samping mengadakan kegiatan kemasyarakatan kepada orang ramai.

Program itu juga diharap akan memberikan peluang kepada para ahli rombongan untuk berkongsi dan bertukar-tukar pendapat serta fikiran di antara pelajar Fakulti Usuluddin dengan kakitangan, guru dan pelajar di Siem Reap, mempromosikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara zikir yang berkonsepkan Melayu Islam Beraja (MIB) serta merealisasikan kerjasama perhubungan antara KUPU SB dan APUCEN.

Semasa berasa di Kemboja nanti, rombongan akan mengadakan sesi pengajaran dan pembelajaran bersama pelajar-pelajar Madrasah Al-Rahmah, menyerahkan sumbangan pam air kepada Madrasah Al-Rahmah, membuat kerja-kerja mengecat sekolah iaitu Sekolah Nurul Iman, Kampung Cheroy Metry, menghadiri majlis makan malam bersama mufti Kemboja dengan 20 orang keluarga susah yang terpilih yang dikendalikan oleh rombongan Kelab Fikrah Fakulti Usuluddin, KUPU SB dan mengadakan persembahan kebudayaan.

Di akhir program enam hari itu, para pelajar diharap dapat menambahkan maklumat serta pengetahuan sekali gus membuka minda mereka dengan melawat ke sekolah-sekolah yang memberikan pendedahan kepada suasana yang berbeza dengan Brunei dari segi kebudayaan, kehidupan dan pekerjaan serta memberikan peluang kepada mereka untuk berkongsi pengalaman pembelajaran, bertukar idea dan pandangan dalam memantapkan lagi bidang yang diceburi mereka.