Buka sekolah ikut SOP

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Seramai 149 orang murid Sekolah Ugama (SU) Delima Satu, seperti sekolah-sekolah lain, kelmarin, memulakan fasa pembelajaran fizikal mengikut modul pembelajaran diaturkan pihak sekolah.

Persekolahan mengikut prosedur operasi standard (SOP) bermula daripada kehadiran sehinggalah sepanjang pembelajaran berlangsung, dengan pengawasan utama diberikan terhadap pemeriksaan kebersihan dan suhu badan sebelum pelajar masuk ke bilik darjah.

Sekolah tersebut juga menekankan mengenai nasihat untuk sentiasa mencuci tangan menggunakan sabun setelah tiba di sekolah dan menggunakan gel pensanitasi tangan sebelum pelajar dibenarkan ke bilik darjah masing-masing.

Manakala itu, guru-guru akan memastikan bilik darjah dibersihkan dengan cecair pembasmi kuman selepas pembelajaran tamat pada pukul 4:30 petang.

Menurut pihak sekolah, warga sekolah dan pelajar telah mematuhi SOP yang ditetapkan dan segalanya berjalan lancar pada hari pertama fasa kedua persekolahan.

Murid-murid SU Delima Satu memulakan pembelajaran bagi fasa kedua persekolahan.
Fasa persekolahan ugama mengikut SOP bermula daripada kehadiran sehinggalah sepanjang pembelajaran.