Bukan duit yang ingin dikejar – Dr Hafiz

Sedikit masa dahulu, video nyanyiannya bersama penyanyi, Shiha Zikir pernah tular dalam media sosial.

Ramai melahirkan kekaguman terhadap kemantapan vokal doktor gigi, Dr Hafiz Zainal tatkala mendendangkan lagu Terlanjur Cinta daripada Rossa dan Pasha.

Video yang dimuat naik ke laman Instagram meraih lebih 100,000 tontonan. Dan kini, Dr Hafiz, 28, bakal menambat hati peminat menerusi program realiti, Big Stage yang akan memulakan siaran hari ini.

Anak muda kelahiran Johor Bahru itu bukanlah ‘pendatang’ baharu dalam dunia persada seni suara. Dua tahun lalu, Dr Hafiz pernah menyertai program Bintang RTM dan muncul di tempat ketiga.

Sebelum ini, Dr Hafiz pernah memiliki empat single. Lagu pertama berjudul Cinta Bukan Jalan Kita diterbitkan pada 2015. Bagaimanapun, dia yang kini bernaung di bawah syarikat Rhythm & Rhymes akur nasibnya dalam bidang nyanyian belum menyebelahi menyebabkannya mengambil keputusan menyertai program Big Stage musim ketiga.

Dr Hafiz bukanlah ‘pendatang’ baharu dalam dunia persada seni suara kerana dia pernah menyertai program Bintang RTM dan muncul di tempat ketiga. – Agensi

Katanya, tiga kali menyertai uji bakat yang dijalankan, namun baru tahun ini rezeki menyebelahi dirinya.

“Walaupun dua kali gagal uji bakat, saya tidak putus asa, sebaliknya apabila tahu mengenai sesi uji bakat untuk tahun ini, saya mencuba nasib dan tidak sangka diterima akhirnya.

“Saya akan mengambil cuti tanpa gaji selama tiga bulan demi program ini. Saya menyertai program Big Stage bukan mahu mengejar glamor, tetapi menyanyi sudah menjadi darah daging. Saya meminati bidang nyanyian sejak dahulu lagi tetapi single yang dihasilkan tidak mendapat sambutan.

“Mungkin ini masa dan peluang untuk saya memperkenalkan diri. Saya akui, walaupun sudah memiliki beberapa single, tetapi orang tidak begitu menyedari kewujudan saya. Siapa tahu mungkin melalui penyertaan dalam program ini nama saya akan lebih menyerlah,” katanya kepada media.

Dr Hafiz berkata, dia tidak akan meninggalkan tugas sebagai doktor gigi di sebuah klinik swasta yang terletak di Putrajaya, seandainya kerjaya seni berjaya berkembang selepas menyertai program Big Stage. – Agensi