JEMPUTAN berceramah secara santai melalui sebuah rancangan dalam televisyen swasta yang bercorak keagamaan membuatnya teruja. Suatu penghargaan yang tinggi dirasakannya namun bukan itu yang terpenting. Lebih utama baginya, dia dapat menyampaikan mesej dakwah kepada khalayak yang lebih ramai. Mesej yang dapat dimanfaatkan oleh para penonton lebih menjadi keutamaan.
Sehari sebelum program berlangsung, seorang kawan lamanya muncul. Lebih satu jam mereka berbual. Habis kisah-kisah lama zaman persekolahan dahulu dibualkan, akhirnya topik berubah kepada tujuan sebenar kawan lamanya itu datang berkunjung.
Ekonomi umat Islam mesti dipertingkatkan. Jangan hanya persoalan kekeluargaan dan kemasyarakatan sahaja yang diambil perhatian. Ajaran Islam bukan hanya meliputi hal-hal kekeluargaan dan kemasyarakatan semata-mata. Ekonomi dikesampingkan. Akhirnya umat Islam jauh ketinggalan dalam hal ini. Begitu mesej yang kawan lamanya perkatakan.
Tersentuh juga hatinya dengan kata-kata itu. Memang ceramahnya selama ini hanya berkisar dalam hal kekeluargaan dan kemasyarakatan. Bukannya dia tidak tahu ajaran Islam yang syumul ini juga memperkatakan tentang ekonomi. Dia faham semua itu dan dia ada serba sedikit ilmu berkaitan dengan ekonomi Islam Tetapi bukan kepakarannya dalam soal ini. Biarlah mereka yang pakar membicarakannya. Menjadi pendakwah bukanlah kita mesti menjadi individu serba sempurna dan serba hebat dalam semua perkara. Para pendakwah semestinya menjadi kumpulan yang saling lengkap melengkapi di antara satu sama lain.
“Mahukan kejayaan mesti ada pengorbanan. Pengorbanan kelihatannya sukar. Tetapi jika dilihat keuntungan yang bakal diterima kemudiannya, rasa sukar itu dapat kita ketepikan,” ujarnya petah.
Kawan lamanya itu, dahulu langsung tiada minat dalam hal-hal agama, kini kelihatan jauh berbeza. Dulu, hendak bercakap pun tergagap-gagap. Berucap di atas pentas jangalah diharap. Sanggup dia ponteng sekolah. Terdetik rasa gembira di hatinya dengan perubahan kawan lamanya itu.
Kawan lamanya itu minta diri untuk pulang dengan janji akan datang semula minggu hadapan. Ruang masa bertenang diberi kepadanya untuk berfikir dengan tenang.
“Saya tidak faham jika Ustaz menolaknya,” sedikit desakan seakan memaksa. Sebelum melangkah, berulang kali kawan lamanya itu menyebut tentang usaha memartabatkan ekonomi Islam.Sedikit rasanya kurang senang terselit di hatinya.
Ceramah santainya malam itu berjalan lancar. Persembahannya menarik dan memuasakan hati para penonton. Orang ramai yang mengatakannya. Pujian datang bertimbun dari media sosial elektronik. Perasaan bangga mengalir meresap di seluruh urat sarafnya dari hujung jemari tangan hingga ke hujung jemari kaki. Terasa diri terawang-awang, mabuk disalut puji-pujian yang datang tidak putus-putus.
Segera ditepisnya rasa bangga yang semakin menebal. Tidak mahu dia dihinggapi mazmumah yang bersalut keji dan kotor. Sifat ujub yang merasakan diri sendiri hebat dan serba sempurna. Merasakan kagum dan taajub terhadap diri sendiri. Hingga lupa segala-galanya itu kurniaan Allah. Allah berkuasa memberi dan berkuasa menariknya semula. Berulang kali kali ucapan istighfar menyentuh bibirnya bersalut rasa insaf .
Dia tidak menyangka begini hebat penerimaan segenap lapisan masyarakat. Niatnya dahulu hanya dan menyampaikan mesej ajaran Islam dengan cara ini. Bertahun ilmu agama di serata pengajian pondok dan pengajian-pengajian di masjid dan surau. Berpuluh-puluh kali program daurah diikutinya. Bermakna, sudah berpuluh-puluh kitab hasil tulisan ulamak tersohor telah dikhatamnya bersama guru yang mahir dalam kitab-kitab berkenaan.
Bakatnya terpendamnya terhenti seketika apabila dia melanjutkan pelajaran bahagian farmasi semasa di menara gading. Setelah bekerja di hospital kerajaan, minat terhadap bakat sedia adanya itu tercetus semula. Masa terluang digunakan untuk mendalami ilmu-ilmu agama di serata tempat. Sebahagian daripada wang gajinya diperuntukkan untuk memenuhi minatnya itu. Dilengkapkan pula dengan belajar cara-cara yang betul dan berkesan dengan khalayak ramai. Setelah hampir sepuluh tahun dia bergelumang dengan minatnya itu, akhirnya dia berjaya. Bakatnya terserlah dan tergilap.Mesej agama yang disampaikannya cukup menarik bagaikan satu set persembaha pentas yang memukau para hadirin dari awal hingga akhir.
Masalah dengan pihak berkuasa agama Islam di setiap negeri tidak pernah tercetus. Apa yang hendak dipertikaikan. Ajaran yang disampaikannya tidak menyimpang sama sekali dengan ajaran Islam sebenar. Pesanan Tuan Guru Haji Ghazali, Mudir di sebuah tempat dia menumpang belajar suatu ketika dahulu dipegang teguh. “Kamu mestilah berpegang teguh dengan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah”. Dia hanya mengangguk.
“Fahaman Ali SunnahWal Jamaah ialah golongan yang berpandukan kepada Al-Quran dan Hadis serta amalan para sahabat. Ulamak-ulamak zaman silam dan zaman kini majoritinya berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah, kita beruntung kerana ulama-ulamak di negara kita ini berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah walJamaah Raja-Raja Melayu dan pihak kerajaan juga mengiktiraf ajaran yang berpandukan fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah..”, ujar Tuan Guru lagi.
Terkenang dia zaman kanak-kanaknya yang penuh dengan suka duka. Suka dengan kehidupan tanpa beban dan masalah. Duka kerana dia tidak pandai membaca dan menulis. Namun duka ini bagaikan tidak terasa kerana diselimuti zaman kanak-kanaknya yang serba indah itu. Dia tahu membaca hanya setelah berada di tahun enam. Diikuti pula dengan kepandaian menulis. Sebelum ini dia hanya tahu menyalin huruf-huruf. Apa yang disalin, dia sendiri pun tidak faham.
Semuanya bermula daripada minat kakaknya yang suka membaca buku cerita. Kakaknya akan bercerita selepas itu. Asyik dia mendengarnya. Setiap hari dia mahu mendengar cerita. Kadang-kadang cerita yang sama minta diulang berkali-kali.
“Bosan kakak dengan perangai kamu tu. Kalau mahu cerita, bacalah sendiri,” bibir kakaknya menjuih ke arah susunan buku cerita di atas rak. “Kakak ajarlah saya membaca.” Cepat pula dia pandai membaca. Tidak sampai tiga bulan sudah boleh walaupun sedikit terangkak-rangkak. “Masa di sekolah kamu main-main. Tidak fokus. Sebab itu tidak pandai-pandai membaca,” tegas kakaknya.
Dia membenarkan kata-kata kakaknya itu. Jika kita sangat-sangat mahukan sesuatu itu, kita akan bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Dahulu dia tidak mengharapkan apa-apa yang menarik daripada kepandaian membaca.
Buku menjadi santapannya selepas itu. Tidak sangka pula, minat sebenar dalam dirinya ialah membaca. Menjelang usia empat belas tahun, dia kurang bermain-main dengan kawan-kawan di luar rumah. Kawan baiknya kini ialah buku. Siang, malam, pagi dan petang dia berkepit dengan buku. Semua buku dibacanya. Buku teks sekolah, dalam bulan Februari habis semua mata pelajaran dibacanya. Selepas itu buku teks kakaknya pula menjadi tatapannya. Dia benar-benar menjadi ulat buku.
Minggu berikutnya, kawan lamanya bertandang semula ke rumahnya. Kali ini datang berdua dengan orang yang tidak dikenalinya. Dengan wajah berseri-seri dan senyuman meleret,kawan lamanya itu terus membicarakan tentang usaha mempertingkatkan ekonomi umat Islam. Rakan yang menemaninya tekun mendengar dan sesekali mengangguk.
“Kita berjihad membangunkan ekonomi umat Islam. Bukankah kita jauh ketinggalan di bidang ekonomi. Saya hendak tunjukkan satu cara yang dapat memenuhi hasrat ini. Sedikit pengorbanan perlu kita berikan dan pengorbanan itu akan dibalas dengan berlipat kali ganda.”
Termakan juga hatinya dengan iklan menarik kawan lamanya itu. Belum sempat dia bertanya, kawan lama nya itu pantas menjelaskan. Bagaikan sudah tahu apa yang bersarang di lubuk hatinya. “Kita laburkan sedikit wang simpanan kita dan keuntungannya akan diperolehi dalam tempoh sebulan sahaja.”
“Berapa banyak?,” sempat dia memintas dengan pertanyaan. “Mengikut kadar yang kita korbankan. Banyak yang kita korbankan, banyaklah hasilnya. Begitulah sebaliknya.”
Suatu perkiraan yang cukup mudah. Sepuluh peratus akan diperolehi setiap bulan daripada nilai yang kita laburkan. Bermakna melabur sepuluh ribu ringgit, hasilnya seribu ringgit sebulan tanpa had masa. Cukup berbaloi. Sepuluh bulan sudah balik modal. Selepas itu itu makan untung atas angin.”Mudah sangat dapat wang. Dari mana sumber semua itu.
“Warisan daripada Abdul Rahman bin Auf, seorang sahabat Nabi SAW yang kaya raya.” “Hartanya masih ada sampai sekarang?.”
“Berpuluh billon dollar hartanya sedang aktif diperniagakan oleh mereka yang amanah. Kita mesti turut serta agar harta sahabat Nabi Muhammad SAW dapat dikembangkan dan dapat membantu membangunkan ekonomi umat Islam”.
“Ustaz banyak wang.Saya cadangkan ustaz melaburlah seratus ribu ringgit. Ustaz akan memperolehi setiap bulan sepuluh ribu ringgit. Kalau laburkan sejuta ringgit pastilah lebih baik dan lebih menguntungkan.”
Panggilan telefon menyelamatkannya daripada persoalan yang mengelirukan di samping desakan halus daripada kawan lamanya. Dia perlu berziarah segera. Seorang jirannya meninggal tadi. Dia memohon maaf kepada kawan lamanya itu dengan janji lagi jika ada kelapangan.
Dia akan patuh pada janji itu. Mereka akan bertemu lagi dan pertemuan akan datang bukannya untuk dia membuktikan pengorbanan dengan menyerahkan wang pelaburan seratus ribu ringgit. Dia akan menggunakan kefasihan lidah yang Allah kurniakan ini untuk berdakwah kepada kawan lamanya itu.
Mana mungkin kita dengan mudah mendapat wang sebegitu banyak tanpa sebarang usaha yang sewajarnya. Dia mampu menjadi penceramah sekarang ini pun bukannya dengan jalan yang mudah dan tiada jalan pintas untuk segera berjaya. Dia belajar di sekolah rendah sebagai murid dalam kelas pemulihan dan akhirnya berjaya ke menara gading. Semua ini diperolehi bukannya dengan cara yang ajaib. Dia berusaha dan bertindak mengikut cara yang bersesuaian dengan impian yang dihajati. Hasilnya pula bukan diperolehi dalam tempoh sebulan tetapi bertahun-tahun.
Kawan lamanya itu mesti disedarkan daripada mimpi-mimpi indah skim cepat kaya. Mereka memerangkap diri sendiri dan juga orang ramai. Suatu usaha yang merosakkan ramai orang. Paling menyedihkan, apabila agama Islam digunakan untuk memerangkap orang ramai. Matlamat memartabatkan ekonomi umat Islam dan dikaitkan pula dengan sahabat Nabi Muhammad SAW yang kaya raya itu menjadi umpan yang enak kepada mereka yang tidak berfikir panjang. Bertambah teruja lagi apabila dijanjikan dengan keuntungan berganda.
Selepas itu menyentuh soal ini. Ekonomi Islam yang sebenar akan dijelaskan. Pasti kawan lamanya dan yang seangkatan dengannya akan marah. Dia tidak peduli. Inilah pengorbanan sebenar yang mesti dilakukan. Umat Islam di sekelilingnya mesti diselamatkan daripada sifat bermalas-malas dan mahu menjadi kaya dengan cara mudah yang bakal meranapkan kekuatan ekonomi umat.