Penyanyi, Syafiq Farhain, 26, tidak bersikap terbuka berkongsi kisah peribadi terutama sekali yang membabitkan tentang soal kekasih. Syafiq atau nama sebenarnya, Nursyafiq Farhain AM Salim berkata, dia akan mengelak dihimpit gosip yang mengaitkannya dengan mana-mana gadis demi menjaga nama baik majikan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Saya masih anggota bomba, jadi saya mahu menjaga imej JBPM. Tiada masalah jika bercinta, tetapi.
“Saya tidak suka berkongsi kisah cinta dengan netizen dalam laman sosial. Biarlah saya saja yang tahu sama ada sudah berpunya atau sebaliknya.
“Bukan mahu berahsia atau takut saham jatuh, tetapi saya mahu kerjaya berjalan ke depan. Jika ada kekasih perlu kecoh satu dunia ke?,” katanya kepada media.
Anak kepada penyanyi legenda, Allahyarham Saleem itu berkata, sejujurnya, dia lebih suka pendam kisah peribadi dalam hati.
“Saya cukup tidak berminat orang luar ambil tahu kisah cinta saya. Namun, mana yang tahu, tahulah… Yang tak tahu, cari sendiri,” katanya.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Sayang Maafkan Aku mengakui, dia sudah sesuai untuk mendirikan rumah tangga pada usia sekarang. Cuma, masih perlu bekerja keras mencari duit, sebelum menanggung anak orang.
Dalam perkembangan lain, Syafiq tampil dengan single baharu berjudul Sakit Hati berkata dia menggunakan pengalaman putus cinta untuk menghayati kisah dalam lagu berkenaan.
“Lagu Sakit Hati mengisahkan lelaki yang terlalu memuja kekasih, tetapi akhirnya ditinggalkan. Saya percaya semua orang pernah merasai pengalaman mengguris hati, termasuklah saya.” – Agensi





























