Bukan runtuh tetapi pembinaan pusingan U

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mei – Mesej dan foto tular menerusi platform-platform media sosial yang melibatkan dakwaan bahawa sebahagian jambatan yang dibina di bawah projek Jambatan Temburong telah ‘runtuh’ pada 15 Mei adalah tidak benar dan tidak berasas.

Kementerian Pembangunan dalam kenyataannya, hari ini, menjelaskan bahawa projek Jambatan Temburong menyediakan kemudahan bagi pengguna jalan raya untuk membuat pusingan ‘U’, iaitu kira-kira 3.7km dari Jalan Kota Batu.

Jambatan berkenaan juga direka bentuk untuk memudahkan pembinaan jambatan laluan ke dua buah pulau yang berdekatan iaitu Pulau Baru Baru dan Pulau Pepatan pada masa akan datang mengikut perkembangan kawasan berkenaan.

Oleh itu, kenyataan menambah, orang ramai adalah dinasihatkan untuk tidak mempercayai sebarang maklumat yang tidak disahkan yang disebarkan menerusi aplikasi-aplikasi media sosial.

Kementerian Pembangunan juga mengingatkan orang ramai bahawa menyebarkan maklumat palsu dan tidak berasas kepada orang ramai adalah satu kesalahan di bawah perundangan Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148, Seksyen 34 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda $3,000 jika didapati bersalah.

Pembinaan pusingan ‘U’ sedang dilaksanakan pada projek Jambatan Temburong.
Kemudahan pusingan U sedang dilaksanakan dan tambahan laluan ke dua buah pulau berdekatan pada masa akan datang.