Bukan semua benda boleh diwaqaf

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

SIRI DUA

Syarat benda yang boleh diwaqafkan

Benda yang diwaqafkan (mauquf) merupakan salah satu daripada rukun waqaf.

Perlu diingat bahawa tidak semua benda boleh diwaqafkan. Menurut para ulama Syafi’iyah, syarat-syarat benda yang boleh diwaqafkan itu hendaklah ianya merupakan mata benda (’ain), ditentukan, dimiliki, dapat dipindah hak, menghasilkan faedah atau manfaat yang boleh disewakan dalam keadaan benda itu masih kekal.

Ini bererti benda yang diwaqafkan itu hendaklah:

Berupa mata benda (’ain): Tidak sah berwaqaf manfaat sesuatu benda seperti berwaqaf barang yang disewanya. Contoh: Seseorang menyewa rumah dalam jangka waktu lima tahun dan kemudiannya mewaqafkan rumah tersebut pada seseorang. Dalam hal ini, waqaf tersebut tidak sah kerana si pewaqaf hanya memiliki manfaat rumah tersebut bukannya memiliki rumah itu sendiri.

Ditentukan: Tidak sah berwaqaf harta atau benda yang tidak jelas atau samar, seperti mewaqafkan salah sebuah daripada rumah kepunyaannya. Contoh waqaf seperti ini adalah tidak sah kerana pewaqaf tidak menentukan dengan jelas harta atau benda yang diwaqafkannya.

Tidak sah berwaqaf manfaat sesuatu benda seperti berwaqaf barang yang disewanya. – Agensi

Merupakan milik pewaqaf: Tidak termasuk dalam istilah waqaf jika harta atau benda yang diwaqafkan itu bukan kepunyaan pewaqaf seperti barang orang lain yang dipinjamnya, barang yang disewanya atau barang yang dipajaknya.

Harta atau benda yang diwaqafkan itu boleh dipindah milik daripada pewaqaf kepada orang yang diberi waqaf.

Dapat menghasilkan faedah atau manfaat yang boleh disewakan dalam keadaannya kekal seperti mewaqafkan kebun yang dapat menghasilkan buah yang boleh dimanfaatkan oleh orang yang diberi waqaf atau mewaqafkan tempat kediaman yang boleh dijadikan sebagai rumah sewa oleh orang yang diberi waqaf.

Sementara syarat ”dalam keadaannya kekal” pula bermaksud barang yang diwaqaf itu bersifat kekal buat beberapa waktu walaupun dalam masa yang pendek, iaitu sekurang-kurang waktu yang membolehkannya untuk disewakan.

Contoh harta atau benda yang sah diwaqafkan

Sah berwaqaf dengan barang-barang berupa harta tetap seperti tanah, rumah, perigi dan bangunan-bangunan.

Dalil pengharusan waqaf berupa harta tetap ini adalah berdasarkan amalan kebanyakan para sahabat Rasulullah berwaqaf dengan harta tetap, antaranya Saidina Umar r.a. sebagaimana disebutkan dalam hadis terdahulu.

Begitu juga sah berwaqaf dengan sebahagian daripada sebuah bangunan. Sebagai contoh seseorang mewaqafkan bahagian atas rumahnya kepada orang lain atau mewaqafkannya untuk dijadikan tempat sembahyang dan yang seumpamanya.

Sah berwaqaf dengan barang-barang atau harta manqul (barang yang boleh dipindah-pindahkan iaitu tidak tetap) seperti buku-buku, pakaian, perkakas-perkakas rumah, senjata dan sebagainya.

Ini adalah berdasarkan hadits Rasulullah yang maksudnya:

“Maka cukuplah dia (Khalid) mewaqafkan baju-baju perisai dan peralatan perangnya untuk sabilillah” (Hadis riwayat Abu Daud)

Dalam hadis di atas disebutkan bahawa Khalid bin al-Walid r.a. telah memberi waqaf berupa baju-baju perisai (dari besi) sebagai persediaan fi sabilillah (berjuang pada jalan Allah).

Sah berwaqaf dengan benda haruman yang bermanfaat dengan keharumannya dan kekal dalam jangka masa waktu yang lama, seperti misk (jenis haruman), ’anbar (jenis haruman), ’uud (kayu gaharu yang harum baunya) dan haruman daripada tumbuhan yang hidup.

Sah berwaqaf dengan barang-barang kemas seperti gelang, rantai dan sebagainya untuk dipakai oleh orang yang diberi waqaf.

Contoh benda yang tidak sah diwaqafkan

Tidak sah berwaqaf dengan harta atau benda yang boleh rosak atau musnah jika dimanfaatkan oleh orang yang diberi waqaf. Contohnya, mewaqafkan makanan atau minuman. Ini kerana, makanan atau minuman itu sendiri akan habis, tidak kekal apabila dimanfaatkan (dimakan atau diminum) oleh orang yang diberi waqaf.

Begitu juga tidak sah mewaqafkan kemenyan (yang dibakar) kerana manfaatnya hanya dengan kepunahan barang tersebut. Ini termasuk juga jenis haruman (bau-bauan) dari jenis tanaman yang sudah dipetik daripada pohonnya.

Tidak sah berwaqaf alat-alat yang melalaikan yang diharamkan seperti alat-alat muzik yang berbunyi bising dan menimbulkan bunyi yang huru-hara dan apa saja jenis bentuk barang yang diharamkan. Ini berdasarkan syarat bahawa harta atau benda yang diwaqafkan itu hendaklah terdiri daripada harta atau benda yang boleh (tidak diharamkan) oleh Islam.

Tidak sah berwaqaf dengan dirham (wang perak) dan dinar (wang emas), begitu juga dengan matawang yang digunakan sekarang seperti ringgit, dollar dan yang seumpamanya. Ini kerana manfaatnya habis dengan penggunaannya sebagaimana juga dengan makanan, di samping tidak boleh disewakan atau menyewanya.

Waqaf adalah satu bentuk kebajikan yang bukan sahaja memberi manfaat kepada orang yang menikmati waqaf tersebut, bahkan juga berkat dan ganjaran pahala bagi orang yang melakukannya. Supaya tidak terlepas daripada ganjaran itu, hendaklah dipastikan bahawa syarat-syarat bagi setiap rukun waqaf dipenuhi dengan teliti.

Dalam hal harta atau benda yang diwaqaf pula hendaklah barang itu berupa barang yang dapat dimanfaatkan dalam bentuk ’ain (benda)nya kekal dalam tempoh yang membolehkan untuknya disewakan, tidak kira barang tersebut berupa barang yang kekal seperti tanah atau barang yang boleh dipindah-pindah seperti buku-buku dan yang seumpamanya.