Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    ‘Bukan senang nak popular’

    Sebagai pendatang baharu dalam dunia seni, penyanyi Tika Nasir sedar bukan mudah untuk namanya cepat dikenali.

    Tika atau nama sebenarnya Atikah Nasir, 22, menganggap perjalanan dalam dunia hiburan ini sebagai satu proses yang perlu dipelajari dan tidak mahu sengaja mencipta kontroversi sehingga nama menjadi tular semata-mata untuk popular.

    Menurutnya, setiap langkah dalam industri ini perlu disusun dengan teratur dan tidak kisah jika ia mengambil masa lama untuk nama betul-betul menjadi perhatian ramai.

    “Kalau nak cepat dikenali boleh sahaja buat benda viral, cuma saya tidak mahu dikenali dengan kontroversi buruk. Jika viral sebab sesuatu yang baik tidak ada masalah.

    “Saya dah mula terlibat dalam industri sekitar 2015 dengan berlakon iklan. Kemudian bermula tiga tahun lepas baru saya jadi penyanyi.

    Tika Nasir mahu terus konsisten dalam dunia seni dan tidak menginginkan kontroversi buruk yang menjadi penyebab terkenal. – Agensi

    “Perjalanan ini satu proses, banyak lagi yang perlu saya belajar. Kalau nak konsisten perlu ambil masa dan ada perancangan betul. Mungkin satu hari nanti orang akan kenal siapa saya,” katanya ketika dihubungi wartawan.

    Penyanyi lagu Bicara Menanti ini juga sedar dia tidak boleh terus bergantung harap sebagai penyanyi sebagai sumber pendapatan utama.

    Justeru itu, Tika juga terlibat dengan kerja belakang tabir sebagai pembantu penerbit selain terbuka menerima tawaran berlakon di masa akan datang.

    “Fokus utama saya sekarang memanglah menyanyi, namun kita tidak tahu rezeki akan datang. Jadi kenalah ada perancangan lain juga. Selain sibuk dengan promosi lagu, saya juga terlibat dengan kerja belakang tabir.

    “Buat masa sekarang saya tolak dahulu tawaran berlakon, tetapi jika diberi peluang di masa akan datang saya terima,” ujarnya. Bercakap tentang lagu baharunya itu, Tika juga bersyukur kerana ia mendapat sambutan baik selepas dijadikan OST untuk drama popular Melur Untuk Firdaus baru-baru ini.

    “Lagu ini sangat bermakna buat saya kerana jalan ceritanya yang mengisahkan tentang penantian. Saya tidak sangka ia mendapat sambutan sehingga ke Indonesia,” ujarnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...