‘Bukan tolak rezeki, takut fokus lari’

Pelakon berbakat besar Malaysia, Azhan Rani tidak gelap mata walaupun ditawarkan ‘upah’ lumayan hingga puluhan ribu ringgit sebulan bagi membuat ulasan produk menerusi platform media sosial.

Aktor berusia 44 tahun yang lebih dikenali sebagai watak Ustaz Hamadi menerusi drama rantaian popular Nur dan Nur 2, berkata bimbang fokusnya untuk bergelar pelakon tersasar gara-gara ulasan produk.

Atas alasan itu, Azhan enggan melakukannya meskipun mengakui menerima hampir 30 tawaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

“Seakan menjadi trend artis menjadi pilihan peniaga untuk mempromosi dan melariskan produk mereka. Bagaimanapun, buat masa ini, saya belum terfikir mengikut jejak langkah rakan lain.

“Saya tak mahu fokus lari. Sebolehnya untuk menjadi pelakon serius, saya perlu mengutamakan lakonan berbanding benda lain. Ia pilihan saya sendiri kerana berasakan tidak mampu mengawal keadaan.

Azhan Rani lebih suka fokus sebagai seorang pelakon, bukan tukang ulas produk. – Agensi

“Sekiranya orang lain mampu membahagikan antara kerjaya lakonan dan membuat ulasan dalam media sosial, itu terpulanglah kepada mereka,” katanya.

Sebaliknya, katanya, dia tidak mampu meramal masa depan.

Siapa tahu mungkin satu hari nanti terpaksa bergantung kepada ulasan produk demi survival.

“Sebolehnya, saya mahu fokus sebagai Azhan Rani seorang pelakon, bukan tukang ulas produk. Saya perlu jujur dengan minat kerana niat saya bergelar seorang pelakon apabila terjun ke bidang ini.

“Lagipun, saya kurang selesa apabila terpaksa membuat ulasan sewaktu sedang sibuk di lokasi penggambaran. Saya pernah menerima empat produk sama serentak, hilang kreativiti jadinya apabila terpaksa memberi komen kepada produk yang sama.

“Dari situ, saya sedar tidak sesuai dengan tuntutan kerja sedemikian.” – Agensi