Bukti dulu baru laksana semula

PUTRAJAYA, 4 OKT – Gesaan untuk melaksanakan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) hanya akan dipertimbangkan sekiranya terdapat bukti yang tidak boleh dipertikaikan menunjukkan bahawa ia adalah kehendak rakyat, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya ke-14 kerana rakyat jelas menunjukkan bahawa mereka menolak GST dan kerajaan perlu menghormati mandat yang telah diberikan oleh rakyat berkaitan dengan cukai itu.

“Kami mendukung mandat menolak GST pada pilihan raya lepas dan kami telah menunaikan janji untuk menghapuskannya.

“Jadi, jika rakyat mahukan semula GST, seperti (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad katakan, kita akan menimbangkannya. Tetapi perlu ada mandat yang jelas daripada rakyat,” kata Lim semasa ditemui pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.

Dr Mahathir dilaporkan berkata bahawa kerajaan akan mengkaji gesaan untuk melaksanakan semula GST tetapi perlu menjalankan kajian terlebih dahulu untuk melihat sama ada cukai yang diperkenalkan empat tahun lepas itu lebih efektif berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dilaksana ketika ini.

GST sebanyak enam peratus itu diperkenalkan pada April 2015 sebelum dimansuhkan dan digantikan dengan SST pada 1 September 2018, beberapa bulan selepas PH mengambil alih pentadbiran daripada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya lepas.

Ditanya sama ada kerajaan akan melaksanakan semula GST selepas mendapat bukti yang jelas daripada rakyat, Lim berkata keputusan itu perlu dibuat secara bersama oleh Majlis Presiden PH.

Lim berkata penghapusan GST memberikan impak dalam menangani inflasi dan kos hidup dengan Malaysia mencatatkan antara kadar inflasi terendah di dunia pada 1.5 peratus.

“Jika kita benarkan GST enam peratus kembali semula, maka anda akan melihat inflasi akan meningkat,” katanya. – Bernama