MUNICH, Jerman, 11 April – Bayern Munich akan menghoskan Real Madrid dalam persaingan suku akhir pertama Liga Juara-Juara yang menjadi bualan hangat, dengan pasukan Bavarian kendalian Carlo Ancelotti sekali lagi dilihat akan menjadi ‘bete noire’ Sepanyol.
Dan plot sampingan terhadap pertembungan Allianz Arena adalah menarik.
Bos Bayern, Carlo Ancelotti yang mengendalikan Real untuk menjulang mahkota Liga Juara-Juara pada 2014 dan bersedia menentang bekas pembantunya bagi kejayaan itu, ketua jurulatih Madrid sekarang, Zinedine Zidane.
Pemenang Piala Dunia 2010, Xabi Alonso, yang juga memenangi Liga Juara-Juara 2014 sebelum menyertai Bayern, akan menghadapi bekas kelabnya buat kali terakhir sebelum bersara pada Jun depan.
Dan pemain tengah Jerman yang bersama Real, Toni Kroos seorang lagi untuk beraksi menentang bekas majikannya.
Ancelotti berkata ‘perkara kecil akan menjadi perbezaan’ di antara skuad yang dipenuhi barisan bintang yang akan menyaksikan dua gergasi penjaring terbanyak bertembung.
Penjaring terbanyak Bayern, Robert Lewandowski, dengan 38 gol dalam semua perlawanan musim ini, akan menentang bintang Portugal, Cristiano Ronaldo, dengan 26 gol daripada 36 perlawanan.
Ia mungkin sederhana dengan standardnya, tetapi Ronaldo menghukum Bayern dalam perlawanan lalu dengan empat gol dalam banyak perlawanan dan pasukan Bavarian akan berhati-hati, terutamanya bantuan dari bintang Wales, Gareth Bale dan Karim Benzema dari Perancis.
Lewandowksi mengalami kecederaan bahu dalam menjaringkan dua gol ketika membenam Borussia Dortmund 4-1 pada Sabtu lalu, tetapi dijangka ‘100 peratus’ cergas.
Bayern dalam usaha mengekalkan rekod 16 kali kemenangan Eropah dalam persaingan Liga Juara-Juara di Allianz Arena dan rekod tersebut mahu dikekalkan oleh pemain sayap dari Belanda, Arjen Robben.
“Kami berusaha untuk mempertahankannya, kami perlu memberikan isyarat (kepada Real) dari minit pertama bahawa tidak ada yang akan diberikan di Munich dan kami mahu memenangi perlawanan,” katanya. – AFP