Buku biografi ‘Abdul Rashid’ pupuk rasa cinta, setia kepada negara

KOTA KINABALU, 3 Jan – Inisiatif menerbitkan buku biografi ‘Abdul Rashid Harun: Antara Kedaulatan dan Pengorbanan’ merupakan pendekatan yang terbaik dalam usaha memupuk rasa cinta, setia dan bangga kepada negara, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Justeru, Musa menyambut baik usaha dan kerjasama yang dilaksanakan antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun dalam menerbitkan buku berkenaan.

“Kepentingan ilmu yang terdapat dalam buku tidak dapat dinafikan. Apatah lagi apabila ia membicarakan tentang biografi, perjalanan hidup, pengalaman kerjaya, soal kedaulatan negara serta pengorbanan seorang pegawai keselamatan.

“Tentunya perkongsian melalui penulisan dalam buku merupakan suatu yang lebih menarik untuk dibaca dan dihayati. Saya percaya buku biografi ‘Abdul Rashid Harun: Antara Kedaulatan dan Pengorbanan’ dapat memberi manfaat untuk mempertingkatkan lagi motivasi anggota dan pegawai polis,” katanya ketika merasmikan pelancaran buku berkenaan di sini, hari ini.

Beliau berkata buku berkenaan amat penting sebagai rujukan terutamanya kepada generasi pada akan datang.

Sementara itu, Abdul Rashid berkata buku berkenaan menceritakan perjuangan yang dilaluinya sepanjang berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Buku ini merangkumi empat bab iaitu Riwayat Hidup, Persada Kerjaya, Insiden Pencerobohan Lahad Datu dan Peranan dan Sumbangan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM),” katanya.– Bernama