KAHERAH – Pencinta buku Mesir telah meluangkan masa mereka dengan ratusan judul mengenai China semasa Pesta Buku Antarabangsa Kaherah (CIBF) ke-53, acara kebudayaan utama di ibu negara Mesir yang berlangsung dari 26 Januari hingga 7 Februari lalu.
Lebih daripada 600 buku Bahasa Arab yang diterjemahkan dari Bahasa Cina telah dipamerkan di pavilion Kumpulan Budaya Bayt Al-Hekma, sebuah syarikat penerbitan tempatan yang menumpukan kepada terjemahan buku Cina ke Bahasa Arab.
“Matlamat utama kami adalah untuk menjadi jambatan budaya antara budaya Arab dan Cina,” kata Ahmed al-Saeed, Ketua Pegawai Eksekutif Bayt Al-Hekma, semasa pesta kebudayaan selama dua minggu berkenaan.
Penerbitan pilihan termasuk buku tentang sejarah, kesusasteraan, budaya, geografi dan ekonomi China, kamus dan leksikon, serta buku kanak-kanak Cina terlaris dalam bahasa Arab.
“Kami juga mempunyai pavilion untuk buku kanak-kanak, dengan kira-kira 300 judul buku, dengan kerjasama Jieli Publishing House yang terkenal di China,” kata Saeed kepada Xinhua.
Buku-buku bahasa itu diterbitkan oleh Kumpulan Budaya Bayt Al-Hekma Mesir dengan rakan kongsi China Peking University Press dan Sinolingua, katanya. Bayt Al-Hekma memenangi anugerah Buku Terjemahan Terbaik di pameran itu untuk Inisiatif Jalur dan Laluan: Satu Perbandingan Kajian mengenai Ekonomi-ekonomi Serantau dan Nasional edisi Arab.
Saeed berkata peningkatan jumlah pelajar bahasa Cina Mesir dan hubungan politik, sosial, ekonomi yang erat antara Mesir dan China menjadi punca perhatian yang semakin meningkat kepada China dalam kalangan pembaca tempatan.
Yasmine Ahmed, seorang pelajar Bahasa Cina di Universiti Ain Shams di Kaherah, datang melawat pavilion Bayt Al-Hekma kerana bukunya yang ‘kaya dan pelbagai’ tentang China.
“Buku-buku ini, sama ada dalam Bahasa Cina atau diterjemahkan ke dalam Bahasa Arab, banyak membantu saya dalam kajian saya,” katanya kepada Xinhua.
Youssef Baghdady, pelajar kanan kejuruteraan di Universiti Cina Mesir di Kaherah, berkata dia datang untuk membeli buku pembelajaran Bahasa Cina kerana dia merancang untuk bekerja di salah sebuah syarikat China yang beroperasi di Mesir selepas tamat pengajian.
“Ramai orang yang bekerja di sana adalah orang Cina. Kami boleh berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris tetapi dapat berbahasa Cina dengan mereka boleh meningkatkan kerjaya awda dengan lebih baik,” jelas lelaki muda itu.
CIBF tahun ini diadakan di Pusat Pameran Antarabangsa Mesir, dengan penyertaan 1,063 penerbit dari 51 negara.
Ia menerima 1 juta kunjungan dalam tempoh sembilan hari pertama dan jumlah itu dijangka mencecah 2 juta menjelang akhir pameran itu, meningkat 20 peratus daripada edisi tahun lepas, kata Haytham al-Hajj Aly, ketua Pertubuhan Buku Mesir Umum dan ketua penganjur CIBF.
Sebab di sebalik minat pembaca Mesir yang semakin meningkat terhadap buku berkaitan China ialah budaya China adalah salah satu yang paling hampir dengan budaya Arab, dan kejayaan pembangunan China telah membuatkan rakyat Mesir ingin tahu tentang pengalamannya, katanya kepada Xinhua. – Xinhua