Buku Laporan Undang-undang Syariah Brunei dilancarkan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Mahkamah-mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini mengadakan Majlis Perhimpunan Tahunan Mahkamah-mahkamah Syariah kali ke-5 Tahun 2020 yang berlangsung di Bangunan Mahkamah Besar Brunei dan Mahkamah-mahkamah Syariah di ibu negara.

Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran dan perasmian Buku Laporan Undang-undang Syariah Brunei kali ke-2 yang disempurnakan pelancarannya oleh Ketua Hakim Syar’ie Yang Berhormat/Yang Amat Arif Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

Turut hadir ialah hakim Mahkamah Rayuan Syariah, panel hakim Mahkamah Rayuan Syariah, hakim-hakim Mahkamah Tinggi Syariah, hakim-hakim Syar’ie, pemangku pengarah Jabatan Kehakiman Negara, pendaftar, pegawai dan kakitangan Mahkamah Syariah. Majlis juga turut diselajurkan penyampaian sijil mediasi kepada peserta yang mengikuti Bengkel Mediation Training Course Programme selama lima hari yang telah bermula pada 28 Oktober hingga 1 November 2019.

Timbalan Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Haji Muhammad Bahrin bin Haji Alias selaku pemangku pengarah Jabatan Kehakiman Negara berkata, “Pelancaran Buku Laporan Undang-undang Syariah Brunei (LUSB) (2008-2009) ini mengandungi penghakiman kes terpilih bagi keputusan kes di peringkat Mahkamah Tinggi dan Rayuan Syariah, di mana buku Laporan Undang-undang Syariah terbitan pertama pada tahun 2010 yang telah dilancarkan pada 4 Februari 2011.”

Beliau seterusnya berkata, mahkamah syariah juga mewujudkan satu kaunter khas bagi pengambilan borang-borang, dokumen mahkamah serta pertanyaan bagi orang ramai yang berurusan di mahkamah syariah di daerah ini, di samping mereka juga telah memulakan rangka kerja bagi mewujudkan untuk merealisasikan perkhidmatan Petition Writer yang antara lain bertujuan bagi membantu dan memudahkan dalam menyediakan permohonan, tuntutan atau pembelaan dengan teratur dan mengikut prosedur yang ditetapkan.”

Di majlis itu, Yang Berhormat/Yang Amat Arif Pehin turut menyampaikan Anugerah Penghargaan Perkhidmatan Mahkamah-mahkamah Syariah dan penyampaian sijil bengkel asas mediasi.

Yang Berhormat/Yang Amat Arif Ketua Hakim Syarie menyampaikan Anugerah Penghargaan Perkhidmatan Makhamah Syariah kepada salah seorang penerima.