Buku panduan solat Sunat Taubat diagihkan kepada penerima vaksin

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Sebanyak 6,500 naskah Buku Panduan Sembahyang Sunat Taubat dan Lafaz-lafaz Istighfar akan diagihkan kepada penerima-penerima vaksin terutama bagi penduduk negara ini yang beragama Islam di pusat-pusat vaksinasi COVID-19 di keempat-empat daerah.

Buku berkenaan hari ini diserahkan oleh Pengarah Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh kepada Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin yang berlangsung di Kementerian Kesihatan, Commonwealth Drive petang tadi.

Buku kecil berkenaan adalah terbitan PDI, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), yang mudah dibawa kemana-mana serta mudah digunakan sebagai panduan dalam menunaikan sembahyang Sunat Taubat. Buku ini juga mengandungi bacaan-bacaan selepas sembahyang Sunat Taubat serta lafaz-lafaz istighfar.

Selain itu, buku ini diterbitkan adalah sebagai satu usaha memberikan panduan kepada masyarakat Islam di negara ini selaku hambaNya yang merendah diri tunduk kepada Allah SWT, mengakui melakukan kesalahan dan melafazkan istighfar memohon keampunan untuk membersihkan diri daripada dosa-dosa yang terlanjur dilakukan. Buku ini juga boleh didapatkan dalam bentuk PDF di media sosial Instagram PDI.

Dalam usaha sama-sama mengawal penularan jangkitan COVID-19, penerbitan buku ini adalah salah satu usaha dari segi kerohanian di samping usaha-usaha dari segi perubatan dan program vaksinasi kebangsaan, serta amal ibadat lainnya seperti amal-amal kebajikan.

Haji Abdul Rajid ketika menyerahkan buku-buku tersebut kepada Haji Maswadi di Kementerian Kesihatan. – Gambar serahan PDI.