Buku ungkap cara Brunei hadapi COVID-19

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Jabatan Mufti Kerajaan (JMK) telah menerbitkan sebuah buku baharu iaitu Buku Raja Brunei Pelopor Penggunaan Vaksin Ketuhanan yang dilancarkan di JMK, hari ini.

Pelancaran buku yang juga diterjemah dalam Bahasa Inggeris dengan tajuk The King of Brunei Pioneer In The Use of Divine Vaccine, telah disempurnakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Buku dengan 76 muka surat itu adalah hasil tulisan Yang Berhormat Pehin yang mana kandungan buku berkenaan berasal dari-pada Khutbah Khas Aidilfitri 2021 yang disampaikan oleh beliau.

Teks buku itu yang disesuaikan sehingga menjadi sebuah buku yang diyakini amat berguna untuk pengetahuan, maklumat orang ramai khususnya rakyat dan penduduk negara ini.
Dalam buku itu juga dimuatkan beberapa petikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkaitan dengan vaksin ketuhanan yang Baginda pelopori penggunaannya.

Dalam ucapan perasmiannya, Yang Berhormat Pehin menjelaskan bahawa buku berkenaan mengungkap bagaimana Brunei menghadapi dan menangani COVID-19.

Yang Berhormat Mufti Kerajaan sejurus pelancaran buku berkenaan.

Beliau menambah, cara menghadapi serta menangani ditentukan oleh bagaimana perkenan dan mahunya raja, di samping sama-sama mengikut dan mematuhi protokol antarabangsa, Brunei juga dikhendaki supaya tidak boleh tidak, mesti memperisai diri dengan vaksin ketuhanan.

“Apa itu vaksin ketuhanan? Itulah zikir, doa, Al-Quran dan juga sedekah. Ini kerana, ia adalah perisai khusus yang dipegang dan digunakan oleh Brunei dan dengan mahunya raja sendiri selaku pelopor penggunaan vaksin ketuhanan tersebut,” tambah Yang Berhormat Pehin.

Beliau seterusnya menambah, sikap dan budi bicara raja ini adalah satu sejarah di mana sejarah bagi Brunei dan sejarah bagi Baginda sendiri.

Tidak salah kalau disifatkan ia juga adalah sejarah kepada dunia dan dalam dunia yang amat luas ini, tegasnya, terdapat seorang raja, kepala negara dan ketua kerajaan yang sedang memerintah sebuah negara kecil yang penduduknya tidak sampai satu juta tapi Baginda secara berhemah dan tersendiri telah mempelopori penggunaan vaksin ketuhanan untuk menolak COVID-19.

Penerbitan buku berkenaan dapat memperkaya khazanah dan koleksi keilmuan di negara ini.