Buku ‘wira’ Iban Malaysia bakal dilancar

MIRI, 13 Jun – Mereka adalah wira yang tidak didendang ketika pemberontakan komunis dan dianggap sebagai ‘yang terbaik di dunia’ pada masa itu, setanding dengan tentera elit Gurkha.

Kini, perjalanan luar biasa mereka ataupun penjejak Iban untuk menjadi wira negara bertempur bersama-sama tentera British menentang komunis dalam hutan tebal di Semenanjung kini bakal didokumentasikan tidak lama lagi menerusi buku bertajuk ‘Iban Trackers and Sarawak Rangers 1948-1963’.

Penulis buku itu, anak kelahiran Sarawak yang kini me-netap di Taiping, Perak, Left Kol Robert Rizal Abdullah, yang sudah bersara berkata, buku tersebut dijangka dilancarkan secara rasmi bulan depan di Kuching, dengan harapan beliau dapat mencari penaja untuk penerbitan buku berkenaan.

“Idea untuk menulis buku ini bermula pada 2008, tetapi disebabkan kekurangan bahan rujukan dan buku pada masa itu, saya terpaksa menangguhkannya buat sementara waktu,” katanya kepada Bernama dan menambah ini merupakan buku kedua hasil nukilannya selepas biografinya ‘My Adventure’ dilancarkan pada 2008.

Rizal yang berkhidmat dalam tentera selama 25 tahun berkata setelah beliau mengumpul bahan yang cukup sejak dua tahun lepas daripada pelbagai sumber seperti Internet, arkib dari Sarawak dan rakan-rakannya dari luar negara, beliau kemudian menyambung penulisan buku itu dan kini menanti untuk dilancarkan secara rasmi.

Bapa kepada dua orang anak itu yang mempunyai laman blognya sendiri berkata keberanian dan kegagahan yang ditunjukkan oleh penjejak Iban turut mengagumkan Pengarah Operasi Malaya semasa pemberontakan komunis dan bekas Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu Jen Sir Gerald Templer yang menggambarkan mereka sebagai ‘terbaik di dunia’ dalam apa yang mereka lakukan.

“Mereka (penjejak Iban) merupakan pakar dalam mengesan komunis di dalam hutan kerana pengalaman mereka memburu haiwan di hutan Sarawak,” katanya.

Rizal yang menerima pingat Panglima Gagah Berani (PGB), pingat keberanian kedua tertinggi negara, selepas serangan komunis pada 1973 di Sarawak berkata keberanian dan kepakaran penjejak Iban ini setanding dengan tentera Gurkha yang terkenal dan sekiranya Sarawak Renjer tidak dibubarkan, penjejak Iban ini mungkin akan dihantar ke seluruh dunia dengan tentera British.

“Saya berharap generasi muda dapat menghargai pengorbanan penjejak Iban yang berjuang untuk negara,” katanya. – Bernama