Bulan Kebangsaan dilancarkan

KUCHING, 27 JULAI – Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 Peringkat Negeri Sarawak akan diadakan di Bangunan Baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) di Petra Jaya esok.

Menurut kenyataan Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) Sarawak hari ini, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan menyempurnakan majlis pelancaran itu.

Kenyataan itu memaklumkan antara acara yang akan berlangsung adalah sesi penyerahan Jalur Gemilang kepada wakil jabatan serta agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, pelepasan konvoi Jalur Gemilang dan mini pameran kenegaraan.

“Bagi pasukan konvoi Jalur Gemilang, lokasi yang bakal menjadi persinggahan adalah Kampung No.4 Patingan dan juga Kompleks Kerajaan Persekutuan Kuching (Perkarangan Bangunan Sultan Iskandar), Jalan Simpang Tiga,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, sepanjang Bulan Kebangsaan sehingga Hari Malaysia, pelbagai aktiviti seperti program Info on Wheels Merdeka, [email protected] dan [email protected] Malaysiaku juga akan dilaksanakan di setiap daerah. – Bernama