Bulan Kebangsaan: S’wak manfaat kemudahan online

KUCHING, 11 OGOS – Perasmian majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri Sarawak pada 10 pagi, 16 Ogos ini akan memanfaatkan kemudahan penstriman langsung bagi membolehkan upacara itu disaksikan ribuan rakyat Sarawak.   

Pengerusi Jawatankuasa Induk majlis itu Suwadi Guliling berkata ini berikutan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) ketat dan mengehadkan jumlah kehadiran sepanjang majlis yang akan diadakan di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini.

“Kita telah meminta nasihat dari KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan SDMC (Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak). Mereka telah memberi peringatan untuk mematuhi SOP ketat (yang mana) mereka yang hadir nanti mesti mengemukakan nama dan kad pengenalan mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurutnya, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan merasmikan acara itu yang akan disiarkan secara penstriman langsung di aplikasi Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Facebook Jabatan Penerangan (JAPEN) Sarawak dan di akaun TikTok jabatan itu. – Bernama