Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Bulan Keselamatan, Autoriti Kebangsaan bagi Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) yang bertujuan untuk memberi kesedaran pencegahan kemalangan dan menambah baik budaya serta amalan terbaik bagi memastikan pematuhan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, telah menutup tirainya kelmarin.
Acara yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas sempena Hari Keselamatan Sedunia dan Kesihatan di Tempat Kerja (WDSHW) itu adalah acara sampingan dalam Minggu Tenaga, Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2022.
Hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Tetap di Jabatan Tenaga, Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Interim SHENA, Haji Azhar bin Haji Yahya.
Dalam ucapannya, Haji Azhar berkata, acara bertujuan membantu memahami lagi tentang apa, bagaimana dan mengapa budaya itu penting di tempat kerja.
Menurutnya, dengan pemahaman itu akan dapat membantu mengukuhkan tumpuan pada keselamatan dan meningkatkan prestasi keselamatan sekali gus mewujudkan tenaga kerja yang cekap dan bermotivasi untuk bekerja dengan selamat.
“Adalah penting pemahaman dan pengetahuan yang diperoleh, cabaran dan cadangan yang telah dibincangkan dan dikemukakan untuk terus ditangani dan dilaksanakan di tempat kerja bagi memanfaatkan pekerja dan tenaga kerja masa akan datang,” tambah beliau.
Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah bagi pertandingan gambar dan video SHENA yang disempurnakan oleh Haji Azhar.
Pemenang tempat pertama bagi pertandingan gambar SHENA ialah Awang Abdul Qawiem bin Haji Abdul Rahman manakala itu, Kelvin Su Shen Keong dan Awang Mohammad Qawiul Azim bin Haslin masing-masing memenangi tempat kedua dan ketiga.
Bagi pertandingan video SHENA, tempat pertama dimenangi oleh Awang Mila Haziman bin Haji Lazim diikuti oleh Awang Mohd Amin Al-Aji bin Abdullah Aziz di tempat kedua dan Awang Mohammad Qawiul Azim di tempat ketiga.