MELIHAT kes-kes buli yang berlaku sejak akhir-akhir ini amat merisaukan. Lebih membimbangkan adalah pelakunya yang masih berada pada usia remaja. Kasihan buat mereka yang dibuli, kasihan juga kepada mereka yang membuli.
Mangsa buli cedera fizikal dan mentalnya, hilang keyakinan diri dan menyimpan dendam kesumat di dalam diri. Bahkan ada juga kes yang membawa kepada kematian. Pembuli yang dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa, ada yang dipenjara dan jika kes melibatkan kematian, bakal berdepan hukuman mati mandatori.
Mengapa remaja-remaja ini menjadi begitu ganas? Sedangkan waktu kecil, mereka adalah kanak-kanak yang comel dan mudah tertawa.
Banyak faktor yang menyebabkan seseorang pembuli itu menjadi pembuli. Antaranya adalah pengaruh dari televisyen dan rakan-rakan yang bermasalah. Sejak kecil, anak-anak yang menjadi pembuli ini didedahkan dengan rancangan-rancangan yang berunsur keganasan hingga tidak ada lagi rasa sensitif dan bersalah pada tindakan-tindakan ganas.
Akhirnya, wujud satu nilai pada anak-anak yang menjadi pembuli, iaitu mendominasi orang lain dengan kekuasaan dan kekasaran adalah lambang kejantanan. Keupayaan untuk membuatkan orang lain tunduk dengan kekasaran akan memuaskan nafsunya.


Prinsip ini benar-benar bertentangan dengan apa yang diajar oleh agama kita. Islam mengajar bahawa sifat jantan itu bukanlah pada mengalahkan lawan dengan kekasaran tapi pada keupayaan untuk menahan rasa marah yang meluap-luap. Islam juga mengajar bahawa antara sifat utama seorang Muslim adalah orang lain selamat dari kekasaran lisan dan tangannya.
Banyak lagi prinsip-prinsip akhlak Islam yang benar-benar bertentangan dengan sifat kekasaran seperti yang banyak berlaku hari ini. Antaranya adalah sifat tenang, lemah lembut dan meninggalkan pergaduhan. Bahkan dalam Islam, lelaki yang terbaik adalah yang paling baik dan lemah lembut layanan terhadap isterinya.
Tidak ada jalan lain untuk kita semua mengatasi masalah buli ini melainkan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Jelaskan kepada anak-anak bahawa kejantanan itu bukan melalui sifat kasar dan kurang ajar. Sebaliknya, didik diri dan anak-anak kita dengan akhlak Islam yang indah dan sebarkan ajaran-ajaran Islam yang penuh dengan kelembutan kepada orang lain.
Elakkan anak-anak kecil menonton rancangan-rancangan yang mempunyai unsur-unsur ganas yang keterlaluan kerana mereka akan menjadikannya sebagai ikutan. Gantikan dengan didikan untuk berakhlak mulia melalui cerita dan rancangan-rancangan Islam yang baik. Kita semua mampu mengubahnya.