Buluh, bunga ‘bertuah’ laris

KUALA LUMPUR – Setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina, pokok buluh tuah (lucky bamboo) atau dracaena sanderiana yang batangnya diikat dengan reben berwarna merah, merupakan antara pokok ‘bertuah’ paling laris dijual.

Masyarakat Cina percaya tumbuhan itu melambangkan nasib baik dan kemakmuran serta mewakili kesemua lima elemen Feng Shui iaitu kayu (tumbuhan), tanah (batu kerikil), logam (bekas logam), air dan api (riben merah).

Khoo Khay Wen, Pengurus Projek di Fang Kiat Florist Sdn Bhd di Sungai Buloh dekat sini berkata terdapat banyak permintaan untuk pokok bertuah semasa musim Tahun Baharu Cina dan mereka menjualnya seperti pisang goreng panas sebaik sahaja pintu kedai dibuka pada 8:15 pagi.

“Beratus-ratus pelanggan akan mengerumuni kedai untuk mendapatkan pokok dan bunga yang ada ‘ong’ (tuah). Menjelang 10 pagi, kami akan kehabisan stok,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata selain pokok buluh tuah, pokok limau dan kumkuat juga melambangkan kekayaan dan nasib yang baik selain sebagai perhiasan rumah yang sering dicari pada perayaan itu.

Dracaena sanderiana  merupakan antara pokok ‘bertuah’ sempena sambutan Tahun Baharu Cina. – Agensi

Pokok Pussy Willow pula katanya, menandakan kedatangan musim bunga dan kemakmuran selain merupakan simbol yang baik untuk pertumbuhan dan kekayaan yang melimpah-ruah.

Khoo berkata bunga kekwa berwarna kuning dan ungu yang melambangkan kekayaan, kemakmuran dan umur panjang adalah antara pokok bunga penting yang perlu ada pada sambutan Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata warna dan bentuk pokok bunga itu memberikan kesan positif untuk perayaan itu.

Ada antara tumbuhan ini juga yang dimasukkan ke dalam pasu emas dan dihiasi dengan balutan reben merah dan manik emas untuk tujuan Feng Shui.

Sementara itu, seorang pelanggan yang hanya mahu dikenali sebagai Yew, 57, berkata beliau sedang mencari pokok limau yang banyak berbuah keemasan untuk membawa lebih banyak tuah kepada keluarganya.

“Saya ingin dapatkan pokok limau atau limau mandarin dengan harga berpatutan kerana saya percaya pokok ini boleh mendatangkan banyak rezeki,” katanya.

Seorang lagi pelanggan, Ong Lee Hui membeli empat pasu pokok bunga kekwa untuk menyambut Tahun Baharu Cina kali ini. – Bernama