Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    Buluh penyelesaian masalah iklim, sosial

    BALI – Pada masa dia berusia 10 tahun, Arief Rabik boleh menamakan 1,000 spesies buluh.

    Lagipun, arwah ibunya Linda Garland sudah terkenal sebagai ‘Ratu Buluh’. Garland, seorang pereka bentuk dalaman kelahiran Ireland, amat disegani atas kerja-kerjanya dalam ekologi, setelah mereka bentuk kediaman mewah untuk selebriti dan personaliti seperti Mick Jagger, Richard Branson dan David Bowie.

    Namun selain projek kreatifnya, Garland yang tinggal di Bali itu merupakan penyokong tegar penggunaan buluh sebagai satu penyelesaian kepada isu alam sekitar dan sosial.

    Beliau menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan Yayasan Buluh Alam Sekitar (EBF) pada 1993 untuk mempromosi buluh sebagai pengganti mampan untuk kayu balak sebagai bahan pembinaan di seluruh dunia untuk menghalang pembasmian hutan tropika serta merangsang pendapatan komuniti luar bandar sementara mempromosi penyertaan jantina dan sosial.

    Garland meninggal dunia akibat kanser pankreas pada 2017 di Australia pada usia 70 tahun. Selepas memperoleh ijazah dalam kajian alam sekitar di Australia, Rabik mengambil EBF sebagai pengarahnya, meneruskan warisan ibunya.

    Rabik berkata Inisiatif Kampung Buluh menyasarkan 12 daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan PBB. – ANN/The Star
    Gambar menunjukkan ‘mama bambu’ di Ngada, Pulau Flores, wilayah Timur Nusa Tenggara di Indonesia yang menanam benih buluh yang akan digunakan untuk memulihkan tanah terbiar di bawah Inisiatif Kampung Buluh. – ANN/The Star
    Bakul buluh dibuat oleh penduduk kampung di Ngada, di bawah projek Inisiatif Kampung Buluh. – ANN/The Star
    Sebuah kampung buluh di Flores di bawah projek Inisiatif Kampung Buluh. – ANN/The Star

    Di bawah EBF, Rabik memulakan Inisiatif Kampung Buluh (BVI) pada 2014, satu gerakan agroperhutanan antarabangsa untuk pemerkasaan wanita, pengasingan karbon dan mata pencarian penduduk luar bandar.

    “Kemerosotan tanah telah mendorong Indonesia menjadi pengeluar karbon dioksida kelima terbesar di dunia,” menurut Rabik, salah seorang penceramah di persidangan Datum: Festival Seni Bina Kuala Lumpur (KLAF), baru-baru ini.

    “Dan golongan yang paling terjejas adalah komuniti luar bandar, pekebun kecil dan penduduk miskin,” tambah Rabik, yang juga seorang anggota Lembaga Penasihat Pemulihan Ekosistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2021-2030.

    Rabik percaya buluh mampu menyediakan satu penyelesaian efektif, dengan pelbagai ciri-ciri dan potensi yang bermanfaat.

    Pertama sekali, tumbuhan itu boleh diperbaharui dengan cepat. Buluh boleh ditebang bagi tempoh masa yang tidak terbatas selepas ia ditanam dan rebung boleh membesar sehingga 1 meter sehari. Satu kitaran penuh buluh yang telah dituai, yang sebenarnya bukan sejenis pokok tetapi rumput, boleh dicapai dalam empat tahun, berbanding dengan 10-20 tahun untuk kebanyakan pokok kayu lembut lain.

    Satu hektar buluh menyerap 50 tan karbon dioksida setahun dan menghasilkan lebih 30 peratus daripada oksigen berbanding pokok.

    “Satu rumpun buluh mampu mengekalkan 5,000 liter air selama enam hingga sembilan bulan,” tambah Rabik.

    Tanaman buluh juga menstabilkan lereng bukit dan mengelak runtuhan tanah dan banjir.

    Sistem akarnya yang menyerupai jaring merupakan mekanisme efektif untuk melindungi legeh dan juga mengikat tanah-tanih di sepanjang tebing sungai, kawasan yang telah dibasmi hutan, dan tempat yang cenderung terdedah kepada gempa bumi dan runtuhan lumpur.

    Kepingan buluh adalah bahan mentah untuk dijadikan papan buluh, alternatif kayu mampan untuk industri pertukangan kayu yang boleh diubah kepada perabot, struktur malah bangunan pencakar langit.

    Produk sampingan pengeluaran kepingan buluh dikenali sebagai pelet, yang merupakan sumber biotenaga neutral karbon yang digunakan sebagai elektrik dan bahan api yang selamat untuk memasak.

    Bahan buangan buluh daripada rantaian pengeluaran juga boleh diproses menjadi pelet untuk digunakan sebagai tenaga boleh diperbaharui. Selain itu, bangunan buluh lama boleh dikitar semula menjadi pelet untuk memberikannya hayat kedua.

    BVI bekerjasama dengan petani untuk menanam buluh hanya di tanah terbiar. Ia juga membina kilang di kampung untuk mengurangkan faktor orang tengah.

    Sistem pengeluaran hutan-ke-kilang ini membenarkan koperasi petani menghasilkan produk buluh pada peringkat kampung dan menjualnya pada harga berpatutan. Ia menyasarkan empat isu utama yang dihadapi dunia hari ini – perubahan iklim, tanah merosot, harta luar bandar dan kesamaan jantina.

    “Pada keseluruhannya, inisiatif secara langsung menyasarkan 12 daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (SDGs),” kata Rabik. Matlamat keseluruhan inisiatif adalah mewujudkan ekonomi yang memulihkan 8 peratus daripada tanah Indonesia dan ekosistemnya; menyerap 16 peratus daripada pelepasan CO2 Indonesia setahun; menjana pendapatan AS$6 hingga 9 bilion setahun dan mewujudkan lebih satu juta pekerjaan.

    “Inisiatif ini menambah pendapatan keluarga sempat kali ganda sementara memperkasa wanita dalam agroperhutanan. Sistem ini akan menggaji 210,000 wanita yang akan memainkan peranan utama dalam sistem pengurusan,” jelas Rabik.

    EBF buat masa ini bekerja dengan lebih 350 wanita, juga dikenali sebagai ‘mama bambu’, di Ngada, Pulau Flores di wilayah Timur Nusa Tenggara untuk menyemai anak benih yang akan digunakan untuk menanam semula tanah yang merosot. Wanita berkenaan telah menghasilkan lebih dua juta anak benih buluh setakat ini.

    Menurut Rabik, kaum wanita adalah kunci kepada projek berkenaan. “Kami bekerjasama dengan wanita disebabkan ia amat pragmatik dan kos efektif jika kami mempunyai struktur insentif yang betul dan kes perniagaan untuk wanita tersebut, di mana kuasa pembuat keputusan mereka serta ekuiti mereka dalam masa depan sistem berkenaan adalah terjamin.”

    BVI merancang membangunkan 1,000 kampung buluh di seluruh Indonesia.

    “Kami telah melancarkan 40 kampung buluh di wilayah Timur Nusa Tenggara sahaja, menanam lebih 100,000 hektar. Menjelang 2024, kami merancang menubuhkan 200 kampung buluh, meliputi 400,000 hektar dengan 28 juta anak buluh di wilayah itu,” katanya.

    BVI juga menarik tumpuan Presiden Indonesia Joko Widodo, yang telah mengarahkan langkah susulan diberikan kepada pembangunan Strategi Negara untuk Buluh.

    “200 kampung buluh di Indonesia adalah langkah besar pertama yang kami percayai akan mendedahkan sejumlah besar data dan pengetahuan dalam konteks sosial, ekonomi dan ekologi.”

    Setiap kampung buluh mampu memulihkan 2,000 hektar tanah terbiar, memperkasa 210 keluarga petani, menyerap 100 kilotan CO2 setahun dan menjana pendapatan AS$1 hingga 2 juta setahun.

    “Impian kami adalah membangunkan 1,000 kampung buluh pada 2029, yang akan menyerap 100 megatan CO2 setahun, memulihkan dua juta hektar tanah terbiar, memperkasa 210,000 keluarga dan menjana pendapatan AS$2-4 bilion setahun.”

    Menjelang tahun 2036, EBF merancang menubuhkan 10,000 kampung di 10 negara di seluruh negara khatulistiwa di Asia Tenggara, Amerika Selatan dan Afrika, iaitu Filipina, Vietnam, Myanmar, India, Ghana, Nigeria, Kenya, Mexico, Peru dan Brazil atau Colombia.

    “Ia akan menyerap satu gigatan CO2, memulihkan 20 juta hektar tanah terbiar, memperkasa 2.1 juta keluarga dan menjana pendapatan AS$20-40 bilion,” ujarnya.

    “Terdapat dua bilion hektar tanah terbiar di seluruh dunia yang perlu kami aktifkan. Ubah situasi ini dan jadikannya peluang ekonomi pemulihan paling menarik untuk masa depan,” katanya. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...