Saturday, December 7, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bumbung gereja runtuh ragut sembilan nyawa

    CIUDAD MADERO, 2 OKT – Bumbung sebuah gereja runtuh di utara Mexico, semasa upacara Misa kelmarin, meragut sekurang-kurangnya sembilan jiwa dan mencederakan kira-kira 50 orang, kata pihak berkuasa ketika anggota pencari menyiasat serpihan
    sehingga lewat malam mencari mangsa yang terselamat. 

    Kira-kira 30 ahli kariah dipercayai terperangkap di bawah runtuhan ketika bumbung runtuh, kata pihak berkuasa. Penyiasat merangkak di bawah runtuhan bumbung dan pegawai membawa anjing masuk untuk membantu mencari mangsa yang mungkin terselamat.

    Polis negeri Tamaulipas berkata kira-kira 100 orang berada di dalam gereja ketika runtuhan berlaku. Pejabat jurucakap keselamatan negeri berkata lewat kelmarin sembilan orang telah disahkan maut dalam kejadian itu, yang disifatkannya berkemungkinan disebabkan oleh ‘kegagalan struktur’.

    Polis negeri Tamaulipas berkata unit Pengawal Kebangsaan, polis negeri dan pejabat pertahanan awam negeri dan Palang Merah terlibat dalam operasi itu.

    Majlis Biskop Mexico mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa ,”kami bersama-sama berdoa bagi kehilangan nyawa yang tragis dan mangsa yang cedera.”

    Bishop Jose Armando Alvarez, dari Biskop Katolik Rom di Tampico berkata bumbung runtuh ketika ahli kariah menghadiri upacara di gereja Santa Cruz di bandar pantai Teluk Ciudad Madero, bersebelahan dengan bandar pelabuhan Tampico.

    Kawasan uskop tersebut kemudian menyiarkan senarai kira-kira 50 orang yang telah dimasukkan ke hospital akibat kejadian itu. Mereka termasuk seorang anak damit berumur empat bulan, tiga kanak-kanak berusia lima tahun dan dua kanak-kanak berusia sembilan tahun. Tiada maklumat segera mengenai keadaan mereka. AP

    Pekerja penyelamat mencari mangsa yang terselamat di tengah-tengah serpihan selepas bumbung sebuah gereja runtuh kelmarin. – AP

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda