Bumbung rumah di Kg Serdang diterbangkan angin

Oleh Sim Y.H.
Gambar serahan JBP

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JULAI – Angin kencang petang semalam telah mengakibatkan atap sebuah rumah di kawasan Kampung Serdang, Jalan Kota Batu diterbangkan, bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), dalam kenyataannya yang diterima, menyatakan panggilan mengenai kejadian tersebut telah diterima pada pukul 1:41 petang dan lima orang anggota dari Balai Bomba Bandar Seri Begawan, Cawangan Operasi ‘A’ yang diketuai oleh Timbalan Pegawai Balai Haji Yunus bin Matnoor telah dikerahkan ke tempat kejadian.

Kenyataan menyatakan, sebanyak 15 keping atap jenis sepandik berukuran 23 kaki panjang di bahagian dapur telah diterbangkan oleh angin.

Anggota bomba bertindak memasang dua kanvas untuk menutup sementara bagi melindungi rumah penghuni warga tempatan yang didiami oleh seramai 13 orang.

Kerugian akibat kejadian itu masih dalam penyiasatan.

Jika berlaku insiden kecemasan, hubungi talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

Bumbung sebuah rumah di Kampung Serdang yang diterbangkan angin.