Bumi melengkung pada altitud tinggi

BAGI mereka yang pernah menaiki pesawat supersonik Concorde atau jet-jet pejuang, mereka akan dapat melihat bahawa bumi ini berbentuk melengkung dan bulat apabila mereka mencapai altitud yang cukup tinggi.

Sekiranya anda berkelapangan, anda juga boleh melayari laman Youtube dan mencari video berkaitan dengan aktiviti atau ujikaji penerjunan bebas oleh Felix Baumgartner yang telah ditaja oleh Redbull suatu jenama minuman tenaga yang terkenal dan projek tersebut dinamakan sebagai ‘Redbull Stratos’.

Perkataan Stratos telah dipilih keranan penerjunnya yang bernama Felix Baumgartner telah diterbangkan menggunakan belon helium sehingga mencapai ke lapisan startosfera setinggi 40 kilometer di dalam atmosfera bumi kita. Felix kemudian telah terjun dari ketinggian 40 kilometer dengan membawa bersama-sama kamera di badannya.

Rakaman kamera dari kapsul yang dinaiki Felix telah menunjukkan bahawa semasa beliau berada pada ketinggian 40 kilometer dari permukaan bumi, bumi kita kelihatan melengkung bulat atau terbentuk sfera. Ada banyak lagi rakaman-rakaman kamera yang telah dilakukan oleh sama ada roket yang meluncur menunggalkan Bumi, angkasawan semasa berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dan juga satelit-satelit yang telah dilancarkan ke angkasa lepas serta juga gambar-gambar yang telah dirakamkan dari Bulan semasa program Apollo.

Khalifah Al-Ma’mun buktikan bumi bulat

Khalifah Al-Ma’mun semasa pemerintahan kerajaan Abbasiah di Baghdad telah bersama-sama ahli Astronomi pada zaman pemerintahannya mengulangi semula pengiraan yang pernah dilakukan oleh Ptolemy bagi menentukan jarak sebenar bagi satu darjah latitude di atas permukaan bumi.

Felix Baumgartner ketika berada 40 kilometer di atas permukaan bumi sebelum melakukan penerjunan bebas dimana bumi kelihatan melengkung.
Felix Baumgartner ketika berada 40 kilometer di atas permukaan bumi sebelum melakukan penerjunan bebas dimana bumi kelihatan melengkung.
Imej Bumi dirakam dari angkasa lepas yang membuktikan bahawa Bumi adalah berbentuk bulat atau sfera.
Imej Bumi dirakam dari angkasa lepas yang membuktikan bahawa Bumi adalah berbentuk bulat atau sfera.

Pengiraan oleh Al-Ma’mun dan pengikut-pengikutnya mendapati bahawa jarak satu darjah latitude di atas permukaan bumi adalah bersamaan dengan 56.34 batu mengikut skala yang diguna oleh orang-orang Arab (Arabic miles). Setiap batuan Arab adalah juga bersamaan dengan 4,000 ‘black ells’.

Dengan membandingkan kepada skala batuan yang digunakan oleh orang-orang Babylon, Al-Ma’mun mendapati bahawa ukur lilit bulatan bumi adalah bersamaan dengan 26,500 batu yang sebenarnya tidak begitu jauh berbeza daripada nilai yang diterima pakai iaitu sepanjang 25,000 batu.

Pengiraan ukur lilit oleh Al-Ma’mun menunjukkan bahawa tamadun Islam itu sendiri telah menerima pakai konsep dan idea mengenai bumi yang berbentuk bulat atau sfera malahan juga turut mengesahkan nilai ukur lilit bulatan bumi itu sendiri. (Petikan Al-Islam)