Bundesliga bincang sambung ‘ghost games’

BERLIN, 16 APRIL – Perhimpunan secara beramai-ramai seperti perlawanan bola sepak akan kekal digantung di Jerman sehingga 31 Ogos disebabkan krisis koronavirus, menurut kenyataan dari Berlin kelmarin, tetapi ia tidak menolak kemungkinan membenarkan perlawanan Bundesliga tanpa kehadiran penyokong.

“Perlawanan yang besar memainkan peranan besar dalam dinamik jangkitan, oleh yang demikian ia akan kekal digantung sehingga 31 Ogos,” kata pemimpin-pemimpin Jerman dalam satu kenyataan selepas Canselor Jerman, Angela Merkel berjumpa dengan perdana menteri wilayah untuk membincangkan perlonggaran larangan kelmarin.

Keputusan tersebut bermakna penyokong tidak akan dibenarkan pergi ke stadium di Jerman sehingga sekurang-kurangnya pada bulan September, walaupun perdana menteri wilayah Bavarian, Markus Soeder menegaskan permainan akan diadakan tanpa kehadiran peminat – yang dikenali sebagai ‘ghost games’ – masih menjadi satu pilihan.

“Bundesliga bukan topik yang dibincangkan hari ini. Liga ini sedang berusaha mengenai konsep keselamatan dan ia sememangnya akan menjadi sesuatu yang akan dibincangkan tidak lama lagi: tidak kira apa jua perlawanan tanpa kehadiran peminat adalah sesuatu yang tidak mustahil,” kata Soeder.

Liga utama Jerman kini digantung sehingga 30 April, meskipun kebanyakan pasukan telah menyambung latihan dalam kumpulan yang kecil minggu lalu.

Liga Bola Sepak Jerman (DFL) akan mengadakan perjumpaan pada 23 April untuk membincangkan langkah seterusnya, dan memutuskan untuk menghabiskan musim ini sebelum 30 Jun untuk memastikan kelab-kelab tidak kehilangan pendapatan hak penyiaran TV yang sangat penting.

Walau bagaimanapun rancangan kini untuk menyambung perlawanan mingguan tanpa kehadiran penyokong dari awal bulan Mei akan menerima kritikan.

Kumpulan penyokong dan pakar perubatan telah menyelar rancangan tersebut, menunjukkan bahawa ia akan bergantung pada kemampuan ujian dalam permintaan yang dialihkan kepada pemain bola sepak. – AFP

Perdana menteri wilayah Bavarian, Markus Soeder menegaskan permainan akan diadakan tanpa kehadiran peminat, yang dikenali sebagai ‘ghost games’, masih menjadi satu pilihan. – AFP