Bundesliga jadi tumpuan dunia

PARIS, 13 MEI – Bola sepak Jerman akan menjadi perhatian global hujung minggu ini ketika penonton dahagakan aksi secara langsung selepas ia akan menjadi satu-satunya liga utama Eropah kembali beraksi.

Ketika Liga Perdana, La Liga Sepanyol dan Serie A di Itali masih diketepikan akibat pandemik COVID-19, Bundesliga akan ke pentas utama Sabtu ini.

Di Brazil sekalipun, siaran media beralih daripada saingan domestik bola sepak untuk melihat Borussia Dortmund berdepan Schalke pada perlawanan pembukaan terbesar, walaupun tanpa kehadiran penonton di stadium.

Saluran kabel Fox Sports, yang memegang hak eksklusif siaran Bundesliga di Brazil, akan menayangkan saingan Tetangga Ruhr itu pada jam 9:30 pagi waktu tempatan.

Dalam laman sesawangnya juga sudah menampilkan cerita panjang mengenai perlawanan itu bertajuk ‘Penantian akan berakhir tidak lama lagi.’

Gambar fail menunjukkan trofi Bundesliga yang dipaparkan sebelum perlawanan musim lalu. Bola sepak Jerman akan menjadi perhatian global hujung minggu ini ketika penonton dahagakan aksi secara langsung selepas ia akan menjadi satu-satunya liga utama Eropah kembali beraksi. – AFP

Kumpulan media terbesar Brazil, Globo juga terbabit sama apabila menemu bual empat pemain Brazil yang bermain dengan kelab Bundesliga termasuk pemain tengah Wolfsburg, William yang turut mengakui pemain ‘sedikit takut’ mengenai implikasinya terhadap kesihatan.

Di India, liga bola sepak luar turut mendapat pasaran dalam kalangan remaja negara itu yang berminat mengikuti perkembangan kelab seperti Chelsea, Liverpool dan Manchester United. Bagaimanapun sebahagian daripada mereka juga menyaksikan La Liga dan Bundesliga.

“Saya tidak sabar menantikan permulaaan Bundesliga hujung minggu ini. Saya dahagakan aksi secara langsung bola sepak dalam keadaan perintah berkurung ini,” kata Amjad Rehan Ibrahim, seorang pelajar di Universiti Delhi kepada AFP.

Kebanyakan perlawanan bola sepak di seluruh dunia masih lagi dihentikan berikutan dengan penularan COVID-19, di mana kelab-kelab sukan bola sepak kini telah pun berdepan dengan pelbagai kesukaran untuk terus bertahan.

Antara penyelesaian yang dikemukakan oleh kebanyakan badan bola sepak ialah dengan mengurangkan pembayaran gaji para pemain untuk dihulurkan bagi membayar gaji sebahagian daripada kakitangan kelab mereka. – AFP