Bunga Bangkai tumbuh mekar

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JUN – Bunga Bangkai merupakan spesies bunga yang jarang didengar oleh kebanyakan masyarakat tempatan di negara ini tetapi pada hakikatnya tumbuhan liar ini memang wujud di negara ini.

Bunga tersebut digelar bunga Bangkai kerana baunya yang kurang menyenangkan seolah-olah seperti bau bangkai haiwan.

Tinjauan dilakukan oleh pihak Media Permata di kawasan Kampung Lumapas untuk melihat secara lebih dekat kewujudan spesies tumbuhan berkenaan yang ketika ini tumbuh mekar di perkarangan rumah Awang Asnan bin Rabaha.

Beliau turut menceritakan bagaimana tumbuhan tersebut dijumpai di kawasan rumahnya tiga tahun yang lalu.

Pada permulaannya, beliau yang rajin pergi ke hutan untuk mencari beberapa tumbuhan liar atau herba yang berkhasiat bagi tujuan perubatan telah membawa pulang tanaman yang
dipanggil Jantang. Tanaman tersebut kemudiannya ditanam di kawasan rumah beliau.

Bunga Bangkai, tumbuhan liar yang kelihatan sangat cantik tetapi mempunyai bau busuk seakan-akan bau bangkai haiwan. – Gambar oleh Muiz Matdani

Namun setelah tumbuhan Jantang tersebut mati, tumbuhan lain seperti ara mula mekar di tempat yang sama. Berlalunya masa, beliau mengambil keputusan untuk membersihkan kawasan tersebut dengan membuang tumbuhan ara.

Lama kelamaan, tumbuhlah bunga Bangkai di kawasan tersebut secara semulajadi.

Awang Asnan turut menceritakan bahawa bunga Bangkai mengeluarkan bau yang kuat dan menarik perhatian ratusan lalat yang akan mengerumuni tumbuhan tersebut.

Tambahan lagi baunya yang tidak menyenangkan ada kalanya mengganggu mereka apatah lagi ia tumbuh di perkarangan rumah mereka.

Akan tetapi Awang Asnan menjelaskan bahawa ia mempunyai keunikkan tersendiri di mana hanya tumbuh setahun sekali tanpa mengira keadaan cuaca.

Pada permulaan bunga Bangkai itu mekar, warnanya yang indah terdiri daripada warna unggu pada bahagian atas dan merah manggis di bahagian bawahnya yang sungguh menarik perhatian ramai.

Awang Asnan memberitahu bahawa tanaman tersebut akan mati dan layu dengan sendirinya dalam tempoh seminggu.