Wednesday, September 28, 2022
32.3 C
Brunei

Bunga iris komuniti Fazendeville ditemui semula

-

NEW ORLEANS – Hampir 60 tahun lalu, komuniti penduduk kulit hitam menemui tempat tinggal untuk hamba baru dibebaskan, kemudian ia dirobohkan dengan tujuan mengembangkan taman negara sempena memperingati korban Pertempuran New Orleans dan Perang Saudara.

Kini renjer taman dan penggemar pokok bunga iris percaya mereka mungkin telah menemui peninggalan botani – bunga iris Louisiana dan bunga lili Afrika yang mungkin telah ditanam oleh penduduk tersebut.

Woody Keim, cicit lelaki pengasas komuniti, berkata dia fikir perobohan Fazendeville merupakan satu tragedi dan satu keajaiban pokok bunga iris ungu serta bunga lili crinum putih dan merah muda telah ditemui.

“Walaupun kerajaan cuba menghapuskan kampung ini, masih adanya kehidupan dengan kemunculan bunga yang menunjukkan pernah wujudnya sebuah komuniti di sini,” katanya.

Bunga tersebut pertama kali ditemui pada musim bunga lalu, hampir 60 tahun selepas komuniti kecil itu dipisahkan untuk menyertai dua kawasan di taman negara. Sebuah kawasan adalah tanah di mana Pertempuran New Orleans berlaku; satu lagi merupakan tanah perkuburan negara di mana kira-kira 7,300 tentera dan kelasi Kesatuan disemadikan bersama anggota tentera AS.

Bunga iris Louisiana ungu dan lili crinum Afrika putih berkembang mekar di Chalmette. – AP
Paul Christiansen mengambil gambar bunga iris Louisiana ungu di Taman Negara Jean Lafitte di Chalmette, Los Angeles. – AP

“Kami tidak pasti sama ada bunga ditanam oleh penduduk, tetapi kemungkinan besar ia memang ditanam penduduk di sana,” kata Gary Salathe, yang menubuhkan kumpulan untuk menyelamat pokok bunga iris dan yang pertama mendapati bunga berkenaan di medan pertempuran itu.

Komuniti, bergelar ‘The Village’ oleh penduduk yang tinggal di sana, ditubuhkan kira-kira 1870 oleh Jean-Pierre Fazende, pekedai runcit dari keluarga yang terkenal dalam kelas sosial dikenali sebagai penduduk kulit hitam bebas, kata Bill Hyland, ahli sejarah untuk kawasan St Bernard, di mana taman negara terletak di tenggara New Orleans di Sungai Mississippi.

Fazende ingin memberikan hamba yang bebas satu tempat untuk tinggal. Maka dia membahagikan sebidang tanah pusaka yang cukup luas untuk satu deretan rumah kepada 33 bahagian untuk dijadikan ‘koloni orang bebas.’ Tanah itu akhirnya termasuk 30 buah rumah, sebuah gereja, sebuah kedai runcit dan sebuah sekolah yang digunakan pada malam sebagai dewan tari-menari.

“Seperti ramai penduduk daripada kelasnya, dia memahami peralihan daripada kehidupan hamba kepada orang bebas akan mengambil proses yang panjang dan sukar,” kata Hyland.

Berdekad-dekad lamanya keluarga tinggal dan bekerja dalam komuniti kecil yang didirikan di mana tentera Amerika menewaskan tentera British pada 8 Januari 1815.

Pada awal 1960, dengan fokus menyatukan taman negara untuk ulang tahun ke-150 pertempuran pada 165, perkhidmatan taman cuba membeli tanah tersebut. Pemilik menolak dan akhirnya Kongres meluluskan rampasan dan komuniti dirobohkan.

Pada Februari tahun lalu, Salathe dan anggota lain Insiatif Pemuliharaan Iris Lousiana menanam sekumpulan kecil pokok iris biru di kawasan lain taman.

Salathe, dengan kumpulannya berusaha menyelamatkan iris Louisiana dari kawasan yang diperuntukkan untuk pembangunan dan menanamnya di tempat yang mudah dilihat di taman simpanan, mendapati lalang tumbuh tidak jauh dari jalan.

Tumbuhan tersebut kelihatan seperti pokok bunga iris. Apabila melihat dari dekat, terbukti ia adalah bunga iris.

Dia dan renjer taman kembali sebulan kemudian apabila bunga berkembang dan menerima dua kejutan.

Pertama, bunga iris berwarna ungu gelap, bukan iris biru muda yang merupakan bunga kebangsaan.

Kemudian terdapatnya penemuan yang lebih mengejutkan – bunga lili crinum. Anggota sukarelawan Paul Christiansen mengenal pastinya sebagai spesies dari Afrika, kemungkinan dibawa oleh penduduk yang bekerja sebagai hamba, yang tidak mungkin tumbuh liar di sana.

“Pokok berkenaan pasti ditanam oleh orang,” katanya.

Kumpulan itu kemudian mendapati terdapatnya sedikit lekukan di mana jalan raya lama pernah wujud di Fazendeville. Kelompok pokok iris semuanya berada di kawasan rumah yang didirikan sebelum dirobohkan, berakhir di laman belakang rumah.

Salathe berkata dia meminta kebenaran untuk memindahkan beberapa pokok iris dan lili ke satu kawasan di mana ia dapat dilihat dengan mudah.

Taman itu sedang menimbang untuk mempamerkan bunga berkenaan, kata renjer taman Kim Acker.

Keim mendapat tahu mengenai warisan moyangnya apabila dia mula menyelidiki keturunannya dalam talian kira-kira satu dekad lalu.

“Saya bangga menjadi sebahagian daripada budaya Louisiana warisan keluarga saya dalam tempoh 300 tahun lalu,” katanya. – AP

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Jepun beri penghormatan kepada Abe

TOKYO, 27 SEPT – Rakyat Jepun dan perwakilan asing memberikan penghormatan terakhir kepada bekas perdana menteri Shinzo Abe pada majlis pengebumian negara mengundang kontroversi...

Dibunuh hanya kerana salah eja

- Advertisment -