Bunga kekwa penyejuk badan

KEKWA atau lebih dikenali dengan nama Chrysanthemum adalah bahan utama teh bunga kekwa yang sedap diminum dalam keadaan cuaca panas.

Pokok kekwa banyak ditanam di China dan Jepun sebagai hiasan dan juga memperoleh cakera bunga yang digunakan sebagai sayur, minuman teh atau ubat.

Di Jepun, disebabkan Maharaja Jepun amat menyukai bunga ini, maka baginda telah mengadaptasikan bunga kekwa pada cop mohornya.

Namun begitu bukan semua spesies bunga kekwa boleh dijadikan sebagai air teh. Paling penting, jangan gunakan bunga kekwa hiasan di pasaran sebagai ubat herba kerana kebanyakannya telah disembur dengan pelbagai jenis kimia.

Ada beberapa spesies bunga ini seperti jenis Chrysanthemum Coronarium ditanam meluas untuk dimakan sebagai sayur-sayuran daun.

Teh dari ekstrak bunga kekwa boleh mendetoksifikasi darah, mengatur tekanan darah dan menenangkan saraf.
Teh dari ekstrak bunga kekwa boleh mendetoksifikasi darah, mengatur tekanan darah dan menenangkan saraf.

Satu lagi kegunaan bunga kekwa adalah daun-daun kekwa dimasak secara mudah dengan bawang putih dan cili kering di China untuk dimakan.

Sayuran bunga kekwa yang telah dimasak mempunyai warna tua, tekstur yang padat serta bau yang harum dan kompleks.

Sifat-sifat dan nilai pemakanan

Beberapa sebatian yang terdapat dalam kekwa adalah flavonoid seperti luteolin, apigenin, acacetin, choline dan vitamin B1.

Ia juga memiliki sumber baik vitamin C, vitamin A, niasin, asid folik dan asid pantotenik.

Selain itu kekwa juga kaya dengan kalsium, magnesium, kalium, besi dan fosforus.

Dikatakan teh kekwa boleh mendetoksifikasi darah, mengatur tekanan darah dan menenangkan saraf.

Ia memiliki sifat-sifat antibakteria yang berkesan menentang staphylococcus aureus, streptococcus hemolyticus B, dermatomycosis, shigelladysenteriae dan tubercle bacillus.

Kebaikan kesihatan dan kegunaan terapeutik

Kekwa dikatakan boleh membantu tubuh menentang rangkaian jangkitan termasuklah jangkitan streptococcal dan staphylococcal.

Perubatan Cina telah menggunakan teh bunga kekwa untuk merawat demam selesema, keradangan, malah strok haba berikutan kesan penyejuk.

Air teh bunga kekwa dikatakan mampu membantu meredakan kesan sampingan radiasi tahap rendah yang diperoleh daripada skrin komputer.
Air teh bunga kekwa dikatakan mampu membantu meredakan kesan sampingan radiasi tahap rendah yang diperoleh daripada skrin komputer.
Ramuan bunga kekwa yang dikeringkan dan kemudiannya direbus dikatakan mampu menghalang pertumbuhan rambut beruban.
Ramuan bunga kekwa yang dikeringkan dan kemudiannya direbus dikatakan mampu menghalang pertumbuhan rambut beruban.

Herba ini juga dikatakan mampu untuk memperbetulkan ketidakseimbangan yang memberi kesan pada hati dan membantu dalam menghadapi masalah fungsi buah pinggang.

Air rebusan bunga kekwa dikatakan boleh digunakan sebagai losen mencuci kulit ataupun disapu pada kulit untuk merawat pelbagai jenis penyakit seperti bisul dan bengkak di leher akibat penyakit tibi.

Bunga kekwa yang telah ditumbuk hingga halus pula boleh ditampal pada luka.

Manakala cecair yang diperoleh daripada bunga kekwa yang telah diperah pula dikatakan boleh dititiskan pada luka dan masalah jangkitan kulit.

Bagi anda yang setiap hari bekerja menggunakan komputer, dikatakan anda boleh meminum air teh bunga kekwa yang direbus sendiri bagi mengurangkan keletihan mata.

Air teh bunga kekwa dikatakan mampu membantu meredakan kesan sampingan radiasi tahap rendah yang diperoleh daripada skrin komputer.

Perubatan Cina menganggap bunga kekwa adalah herba yang menyejukkan dan telah mengesyorkan mereka yang mengalami masalah panas badan, sakit telinga dan sakit tekak meminum air teh bunga kekwa untuk melegakan masalah tersebut.

Bunga yang telah dikeringkan pula boleh direbus atau dicampur air mendidih.

Ramuan ini boleh diminum untuk merawat hati yang lemah, membaiki daya penglihatan, merangsang pengedaran dan membaiki kualiti darah, masalah penghadaman, sistem saraf, haid, buta malam, menghalang rambut beruban, ubat bronchitis, reumatisme, sakit kepala, selesema, pening kepala, telinga berdesing, tekanan darah tinggi dan sebagai tonik.