RENO, NEVADA, 6 FEB – Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Liar Amerika Syarikat telah bercadang memperuntukkan habitat kritikal untuk bunga liar Nevada yang dirancang disenaraikan sebagai terancam di tengah konflik mengenai lombong untuk menghasilkan bateri litium untuk kenderaan elektrik yang penting kepada pelan pentadbiran Biden dalam memerangi perubahan iklim.
Agensi itu bercadang memperuntukkan habitat kritikal untuk bunga liar padang pasir unik Tiehm’s buckwheat di permatang padang pasir berhampiran California yang terletak di antara Reno dan Las Vegas.
Ia adalah satu-satunya tempat di dunia yang diketahui di mana bunga liar setinggi enam inci dengan bunga kuning itu hidup. Ia juga tapak di mana firma USA Corp merancang membina lombong litium besar.
Ioneer berkata penetapan habitat itu merupakan ‘pembangunan yang dijangkakan’ yang ‘tidak mempunyai kesan ke atas aktiviti perlombongan kami.’
Syarikat itu berkata perlombongan dibenarkan dalam kawasan yang ditetapkan sebagai habitat kritikal sekiranya diluluskan oleh Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Liar dan Biro Pengurusan Tanah.
“Ioneer telah pun mengambil kira perancangan dan operasinya dan akan bekerjasama dengan kedua-dua agensi untuk memastikan aktivitinya tidak menjejas pemuliharaan spesies,” kata syarikat dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Tanah seluas 910 ekar yang dicadang dijadikan habitat – kira-kira 1.3 kilometer persegi – akan menyediakan 503 meter penampan sekitar tanaman untuk memastikan akses kepada lebah dan ejen debunga lain. – AP