Bunga tiada kaitan Yana berpisah

Penyanyi Shalma Eliana yang putus cinta dengan Ismail Izzani hairan bagaimana rapper, Bunga Isme boleh dikaitkan dengan perpisahan mereka.

Shalma yang kini mahu dikenali sebagai Yana, pelik bagaimana Bunga yang dianggap individu memiliki pekerti baik, dituduh menjadi punca hubungan dengan Ismail terlerai.

“Saya mahu tegaskan Bunga tiada kaitan sama sekali dengan perpisahan kami.

“Apabila cerita itu timbul, saya hubungi Bunga dengan menghantar mesej memohon maaf. Bunga individu baik… Dia pun hairan dan tidak tahu bagaimana cerita tidak berasas itu timbul,” katanya kepada media.

Bulan lalu, Ismail mendedahkan hubungan cinta dengan Yana berakhir dan masing-masing membawa haluan sendiri serta fokus kepada karier seni. Ismail dan Yana berkenalan sejak 2014 dan mula rapat, empat tahun kemudian.

Yana merasa pelik bagaimana Bunga yang dianggap individu memiliki pekerti baik, dituduh menjadi punca hubungan dengan Ismail terlerai. – Agensi

April lalu, tersebar konon mereka bertunang. Namun, berita itu tidak benar kerana foto tersebar dirakamkan pada majlis resepsi perkahwinan kakak Ismail. Yana yang juga adik kepada personaliti televisyen (TV), Shalma Ainaa mengaku belum sedia menjalin hubungan cinta dengan jejaka lain. Biarpun didekati, Yana lebih selesa dan terbuka untuk berkawan dengan sesiapa sahaja.

“Bohonglah kalau saya kata tidak ada yang cuba mendekati sejak putus cinta. Namun, saya beritahu hanya mahu berkawan.

“Lagipun saya ‘enjoy’ dengan kehidupan sekarang. Saya tidak mahu terlalu larut memikirkan soal percintaan,” katanya.

Dalam pada itu, Yana tidak kisah jika ada yang menganggap single terbaru berjudul Your Loss bagai penceritaan hubungannya dengan Ismail.

“Saya hasilkan lirik lagu ini dalam tempoh 10 minit pada 2 Oktober lalu. Lagu ini dapat difahami ramai kerana memberi fokus kepada tema khianat.

“Lagu ini mengingatkan pendengar bahawa perlakuan khianat tidak harus jadi punca kegagalan seseorang. Kita tidak harus rasa rugi jika ada yang tidak menghargai kita,” katanya. – Agensi