Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Menjelang musim perayaan, orang ramai mula mencari barang-barang perhiasan yang boleh mencantikkan dan mengindahkan lagi ruang tamu dan sudut-sudut lain di kediaman mereka sekali gus memeriahkan lagi suasana Aidilfitri kelak.
Salah satu barang perhiasan yang menjadi tumpuan suri rumah ialah bunga tiruan yang bukan sahaja tahan lama, tetapi mudah dijaga dan cantik jika kena dengan suai padan sudut-sudut tertentu, menyerlahkan lagi suasana.
Sesuai dengan sambutan Aidilfitri tidak lama lagi, kedai-kedai bunga di seluruh negara mula menawarkan pelbagai jenis bunga tiruan yang cantik dan berseri warnanya.
Tinjauan penulis ke kedai-kedai di The Mall, Gadong mendapati kedai-kedai bunga ini sudah mula menawarkan diskaun pembelian bagi bunga-bunga tiruan ini dan salah sebuah kedai memberikan sepasu bunga tiruan percuma untuk pembelian $10 dalam satu resit.
