Buntat rindu berlakon

Siapa yang boleh melupakan watak Buntat dibawa remaja ini dalam drama rantaian popular, 7 Hari Mencintaiku. Watak kanak-kanak lembam dalam drama yang disiarkan di saluran TV, kira-kira lima tahun lalu, pantas mencuri perhatian dan bualan hangat dalam media sosial.

Disebabkan impak drama menampilkan Siti Saleha dan Shukri Yahya itu, nama Buntat melekat dalam dirinya hingga ‘tenggelam’ nama asal, Muhammad Ariff Abdullah.

Selepas drama itu, kelibat Muhammad Ariff tidak lagi kelihatan di kaca televisyen. Ke mana menghilangnya Muhammad Ariff dan apakah remaja ini sudah tidak berminat untuk berlakon?

Menjejaki remaja berusia 17 tahun ini, Muhammad Ariff yang kini berada di kampungnya di Jitra, Kedah, mengaku tidak pernah melupakan bidang lakonan yang membawa perubahan besar dalam hidup. Namun, situasi semasa yang dihadapi menyebabkan keinginan untuk kembali beraksi terpaksa dilupakan.

“Soalan yang sama diajukan peminat dalam media sosial. Saya masih mahu berlakon dan rindu beraksi.

Muhammad Ariff atau lebih dikenali dengan watak Buntat, kini berada di kampungnya di Jitra, Kedah, mengaku tidak pernah melupakan bidang lakonan yang membawa perubahan besar dalam hidup. – Agensi

“Namun disebabkan penularan wabak COVID-19 dan saya berada di kampung, agak sukar untuk kembali aktif.

“Lagipun, tahun depan saya bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Jadi, fokus saya adalah pelajaran,” katanya kepada media.

Muhammad Ariff berkata, pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) memberi cabaran buatnya yang mengalami disleksia.

Berkongsi lanjut perkembangan dirinya, pelakon yang murah dengan senyuman ini memberitahu, dia seronok dapat membantu bapa, Abdullah Kassim mengusahakan perniagaan roti canai di Medan Selera Kubang Pasu, Jitra.

“Rasa seronok dapat bantu ayah berniaga. Selain dapat jumpa ramai orang, saya belajar ilmu perniagaan. Ada juga yang tegur saya dan cakap pernah nampak saya dalam TV,” katanya sambil tertawa.

Selain mencipta nama dalam drama bersiri 7 Hari Mencintaiku, Muhammad Ariff pernah berlakon dalam filem Jibam yang ditayangkan pada 2017. Filem yang diadaptasi daripada komik Ujang itu menyaksikan dirinya memegang watak sebagai kanak-kanak istimewa. – Agensi