Bunuh isteri dengan ular tedung

NEW DELHI, 26 MEI – Kerana tamakkan harta, seorang suami di India tergamak membunuh isterinya menggunakan ular tedung.

Pasangan yang mempunyai seorang anak berusia setahun dikatakan berkahwin dengan mas kahwin tinggi membabitkan 100 syiling emas, kereta baharu dan wang tunai 500,000 rupee.

Menurut siasatan polis, suspek bimbang perceraian menyebabkan dia perlu memulangkan semula harta berkenaan sebelum memutuskan untuk membunuh isterinya.

Difahamkan, kakitangan bank swasta itu yang dikenali sebagai Sooraj pernah cuba membunuh isterinya sebelum ini, namun gagal.

Lelaki itu akhirnya ditahan pihak berkuasa selepas didakwa membunuh isterinya dengan melepaskan ular tedung ke dalam bilik wanita itu.

Polis Kerala mengesahkan, rekod perbualan telefon menunjukkan suspek, Sooraj ada menghubungi pengendali ular dan menonton video ular di Internet.

Jurucakap polis, Ashok Kumar berkata kepada AFP, pada Mac lalu, suspek menggunakan spesies ular berbisa Russell’s Viper untuk membunuh isteri-nya, Uthra namun mangsa hanya cedera dan dirawat dua bulan di hospital.

Katanya, awal bulan ini suspek sekali lagi melepaskan ular berbisa di bilik mereka di rumah ibu bapa wanita itu dan berpura-pura menjalani rutin harian seperti biasa. – AFP