Bunuh: Lelaki S’wak didakwa di S’pura

SINGAPURA, 20 Jan – Seorang lelaki dari Sarawak yang melarikan diri sejak enam tahun lalu berikutan didakwa terlibat dalam kes kelar dan bunuh di Kallang pada 2010, hari ini didakwa di mahkamah Singapura atas pertuduhan membunuh, menurut laporan The Straits Times

Menurut laporan itu, Abdul Rahman Abdullah, 25, dituduh sebagai seorang daripada satu kumpulan yang membunuh warga India, Shanmuganathan Dillidurai, 41, di sebuah padang di Jalan Kallang dekat sungai kondominium Park pada 30 Mei, 2010.

Turut dikenali sebagai Donny Meluda, dia kini ditahan di Divisyen Polis Central dengan kebenaran untuk dibawa keluar bagi siasatan, menurutnya. Laporan itu menyatakan Abdul Rahman, yang tidak diwakili peguam, akan dihadapkan semula di mahkamah pada 27 Jan.

Jika disabit kesalahan, dia berdepan hukuman mati, menurut laporan itu. – Bernama